Peguam terkemuka Sulaiman Abdullah ketuai pendakwaan babit kes Najib Razak

KUALA LUMPUR: Peguam terkemuka Datuk Sulaiman Abdullah dilantik mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan jenayah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dijadualkan bermula 12 Februari 2019, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Dalam kenyataan media semalam, Thomas juga mengumumkan pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai timbalan pendakwa raya untuk mengendalikan keseluruhan proses pendakwaan berhubung urusan 1MDB, lapor Bernama.

“Dengan pelantikan 2 individu terkemuka dalam Majlis Peguam ini, komitmen kami untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap kleptokrasi terbesar dalam sejarah dunia dengan amat serius dan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat, sesungguhnya memang tidak boleh diragukan lagi,” katanya.

Thomas berkata Sulaiman salah seorang peguam terkemuka negara yang berpengalaman luas dalam undang-undang jenayah, termasuklah jenayah kolar putih.

”Kemahirannya tiada tolok bandingnya, dan kebijaksanaannya tiada saingannya. Sulaiman berintegrti tinggi dan sesungguhnya merupakan seorang peguam yang berperinsip. Datuk Sulaiman bermurah hati bersetuju melepaskan semua yuran guaman dan berbesar hati untuk memberikan khidmat bakti beliau atas dasar ‘pro bono’.”

Thomas berkata selepas berkhidmat selama hampir 3 bulan dan mengalami sendiri tuntutan tugas sebagai peguam negara dan pendakwa raya, beserta dengan tuntutan yang pelbagai dan berbilang selaku pegawai undang-undang utama dalam pentadbiran yang semakin berubah, beliau sedar beliau tidak boleh mengabungkan semua komitmen dan dalam masa yang sama membuat persediaan untuk mengendalikan perbicaraan Najib selama 7 minggu yang ditetapkan berakhir 29 Mac 2019.

Menurutnya, perbicaraan yang penting dan rumit seperti ini memerlukan perhatian sepenuhnya masa dari kaunsel utama, bukan hanya semasa tempoh perbicaraan, seterusnya diikuti dengan penyediaan hujahan bertulis yang terperinci selepas perbicaraan.

“Malangnya, tuntutan perkara-perkara yang segera dan mendesak ini tidak memberikan masa yang mencukupi untuk saya menumpukan sepenuhnya perhatian ke atas pendakwaan ini.

“Oleh itu dengan menggunakan budi bicara saya bawah Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) saya melantik Sulaiman untuk mengetuai pihak pendakwaan dalam PP lawan Najib,” katanya.

Mengenai perkara 1MDB, Thomas berkata sememangnya diketahui umum bahawa kertas-kertas siasatan (IP) berhubung pelbagai penipuan berkaitan 1MDB masih belum dikemukakan kepada jabatannya oleh SPRM dan polis, kecuali 1 IP berkaitan Jho Low, yang membawa kepada pendakwaan dan pengeluaran waran tangkap terhadapnya dan bapanya minggu lepas.

Katanya, selepas IP diterima daripada agensi siasatan, jabatannya perlu mengkaji, menyediakan kertas dakwaan dan mendakwa mereka yang tertuduh menerusi perbicaraan.

“Untuk menerajui keseluruhan proses ini, sukacita saya mengumumkan pelantikan Gopal sebagai timbalan pendakwaraya bawah Skesyen 376(3) KTJ. Gopal bekas Hakim Mahkamah Persekutuan kembali aktif mengamalkan bidang guaman.”

“Beliau berpengalaman luas dalam hal-hal perundangan jenayah. Tidak diragui personaliti dan azam beliau yang kuat akan mempertingkatkan lagi siasatan dan pendakwaan dalam semua hal berhubung dengan skandal 1MDB. Gopal juga melepaskan yuran guamannya dan akan bertindak atas dasar ‘pro bono’,” katanya.

Thomas dilantik sebagai Peguam Negara pada 4 Jun dan membuat penampilan pertamanya di mahkamah pada 4 Julai untuk mengetuai pasukan pendakwa dalam kes Najib yang didakwa dengan 3 tuduhan pecah amanah jenayah dan 1 tuduhan penyalahgunaan kuasa.

Ketika Najib didakwa buat kali ke-2 pada 8 Ogos atas 3 tuduhan pengubahan wang haram, pasukan pendakwaan diketuai oleh Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria yang merupakan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara.

Kes Najib ditetapkan pada 4 Oktober untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *