Mandat Kerajaan Pakatan Harapan ialah laksanakan integriti bukan mengekalkan tidak telus

Selepas 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH), ada lagi pendedahan mengenai pelanggaran integriti dalam kerajaan Barisan Nasional (BN). Bukan saja pendedahan itu dibuat oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tetapi juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakannya ketika mengadakan lawatan rasmi ke China.

Menteri Kewangan mendedahkan soal wang lebihan kutipan Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) yang perlu dikembalikan kepada pembayar cukai sementara Menteri Pengangkutan mengumumkan mengenai saman trafik melalui kamera, yang kesemuanya menyangkut pada pelanggaran integriti.

Sementara Dr Mahathir pula mendedahkan mengenai sekitar projek keretapi Pantai Timur yang juga mempersoalkan integriti kerajaan Datuk Seri Najib Razak.

Pelanggaran integriti

Pendedahan mengenai pelanggaran integriti menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional adalah lebih buruk daripada yang dijangka dan disyaki pada awalnya.

Untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku tentulah ia memerlukan siasatan terperinci, dengan mengambil masa dan tenaga yang lama.

Persoalan tentu timbul adakah rakyat akan akhirnya dapat ketahui semua pelanggaran integriti yang telah berlaku.

Di pihak pendukung Barisan Nasional, mereka memperkecilkan pendedahan-pendedahan mengenai integriti itu. Mereka menganggapnya sebagai naratif untuk membentuk persepsi supaya Pakatan Harapan terus popular dan Barisan Nasional dipandang buruk. Pada sudut lain, mereka cuba membelokkan perhatian rakyat terhadap isu-isu integriti itu.

Sebaliknya mereka menekankan soal penyelesaian masalah yang ada di depan mata daripada melihat ke belakang dan terus menyalahkan kerajaan Barisan Nasional.

Maknanya mereka mahu kerajaan Pakatan Harapan menumpukan pada soal ekonomi seperti kos hidup rakyat daripada mencari-cari kesalahan kerajaan lama. Di satu peringkat pula, ada pendukung Barisan Nasional yang menyatakan bahawa rakyat jemu dengan pendedahan-pendedahan soal integriti ini.

Kalau boleh memang rakyat Malaysia hendak melupakan saja masalah lalu dan menumpukan perhatian pada membina negara. Tetapi realiti perbuatan dulu adalah masalah di depan mata untuk diselesaikan.

Negara kekurangan wang sebab ia telah hilang akibat pelanggaran integriti oleh pentadbiran lalu. Akibatnya usaha pembinaan negara terjejas. Maka masalah lalu ini perlu diselsaikan untuk pembinaan negara.

Seperkara lagi ialah bahawa mandat Pakatan Harapan adalah mengenai integriti. Keutamaannya adalah memulihkan integriti yang hilang pada suatu detik sepanjang Umno memimpin negara selama 61 tahun. Dr Mahathir berpakat dengan parti-parti yang pernah memusuhi beliau untuk elawan kleptokrasi.

Gejala kleptokrasi inilah merupakan pelanggaran integriti terbesar. Bersatu dibentuk untuk menentang kleptokrasi yang diwujudkan oleh parti lama mereka. PKR pula adalah parti yang diwujudkan untuk reformasi bagi rnenentang gejala kolusi, korupsi dan nepotisme ketika kerajaan dipimpin oleh Dr Mahathir dahulu.

DAP yang berfahaman meritokrasi sentiasa mempersoalkan integriti kerajaan sejak tahun 1970-an lagi.

AMANAH ketika anggota-anggotanya berada dalam Pas dahulu juga memperjuangkan integriti sebagai tuntutan Islam sejak 1980-an.

AMANAH dan integriti

Dan nama AMANAH adalah jelas menunjukkan integriti merupakan identiti mereka. Maka jelaslah bahawa mandat Pakatan Harapan adalah pelaksanaan integriti.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditubuhkan juga oleh kerajaan Barisan Nasional, yang pernah dipimpin oleh Dr Mahathir sendiri. Asalnya ia bernama Badan Pencegah Rasuah (BPR). Ia ditubuhkan 10 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan.

Rasuah yang pada masa itu dikenali dengan istilah makan suap dan duit kopi belum lagi berleluasa tetapi sebagai amalan pentadbiran di negara-negara Komanwel, badan bagi memerangi rasuah itu ditubuhkan.

Dalam bahasa Inggeris seperti mana nama yang digunakan oleh negara-negara Komanwel ialah Anti Corruption Agency (ACA) yang bila diterjemahkan seharusnya menjadi Badan Menentang Rasuah.

Namun dengan memberi nama sebagai Badan Pencegah Rasuah, ia bermaksud bukan saja menentang tetapi mencegah. Mencegah adalah lebih baik daripada kalau sudah berlaku. Bila sudah berlaku, bukan saja kerugian besar akan ditanggung oleh negara tetapi ia mendatangkan kesusahan pada rakyat.

Pada tahun 1973, kerajaan telah menukar nama BPR kepada Biro Siasatan Negara (BSN). Fungsi BPR diluaskan untuk bukan saja menyiasat rasuah tetapi lain-lain jenayah yang berkaitan dengannya. Seperti menurut namanya, ia mahu mengikut apa yang Amerika Syarikat lakukan dengan Federal Bureau of Investigations (FBI) atau Biro Siasatan Persekutuan. FBI adalah badan perisikan dalam negeri Amerika. Untuk luar negeri, agensi yang melakukannya ialah Central Intelligence Agency (CIA) atau Agensi Perisikan Pusat.

BSN beroperasi sepanjang Tun Razak Hussein dan Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Penulis ingat ketika hebahan dibuat yang mana alamat peti surat khas diwujudkan untuk orang ramai menghantar maklumat mengenai perbuatan rasuah disyaki berlaku.

Maklumat boleh disampaikan melalui pos atau dengan tangan ke peti surat itu tanpa penyampainya perlu mendedahkan identiti sendiri.

Tetapi pada tahun 1982, ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri, beliau mengubah kembali BSN kepada BPR supaya tumpuan dibuat bagi menangani rasuah. Ketika mula berlaku pertandingan sengit dalam Umno dengan keadaan ekonomi negara lebih baik, mula kedengaran berlakunya politik wang dalam parti. Perkara ini disebut juga oleh Dr Mahathir.

Budaya dalam masyarakat

Bagi orang ramai, sepanjang 22 tahun Dr Mahathir jadi menteri, banyaklah antara mereka terutama di kalangan ahli-ahli perniagaan yang mengalami sendiri perbuatan pelanggaran integriti.

Cerita-cerita begini berlegar hingga amalan tidak berintegriti melibatkan wang awam sudah nenjadi budaya dalam masyarakat. Baik di kalangan kakitangan kerajaan mahupun swasta. Maka berleluasalah amalan kronisme, kolusi dan nepotisme.

Ungkapan-ungkapan dalam masyarakat seperti menggunakan kabel atau menggunakan orang dalam untuk melicinkan urusan menunjukkan amalan tidak berintegriti sudah berbudaya dengan meluas.

Walaupun agama melarang perbuatan tidak amanah dan tidak jujur, tetapi amalan tidak berintegriti seperti sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan orang Melayu.

Malah ia berlaku di kalangan yang kuat anutan pada agama. Keluhan sering dibuat tetapi ia diamalkan tanpa segan silu.

Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan untuk menyusun semula masyarakat menjadi saluran kepada perbuatan tidak berintegriti berhubung dengan wang.

Oleh kerana Umno sebagai parti yang berkuasa, maka penggunaan wang secara tidak berintegriti diamalkan dengan pemahaman bahawa ia tidak salah kerana merupakan sebagai usaha politik bagi mengkayakan orang Melayu dan Islam.

Selain itu terdapat mentaliti hipokrit di mana pada zahir mereka menentang pelanggaran integriti ini, tetapi pada waktu sama mereka turut mengaalkannya, iaitu ia menjadi tidak salah selagi tidak terdedah.

Dr Mahathir di penghujung pentadbiran pertamanya pada tahun 2003, di Perhimpunan Agung Umno menggambarkan berulang kali bahawa politik wang dan rasuah adalah barah yang akhirnya menjatuhkan parti dan orang Melayu.

Najib kemuncaknya

Kleptokrasi pada zaman Najib ini adalah kemuncaknya pelanggaran integriti.

Sungguhpun begitu, terdapat ramai di kalangan Umno, Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya yang terus dengan mentaliti penafian bahawa pelanggaran integriti ini berlaku.

Pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) ada menyebut bahawa pembasmian korupsi tidak boleh dilakukan dengan penguatkuasaan dan hukuan semata-mata. Pencegahan mesti dilakukan dari dalam iaitu melalui kesedaran rakyat itu sendiri.

Bagi mereka, pendidikan anti-korupsi itu adalah penting. Sebab itulah ditubuhkan Institut Integriti Malaysia.
Sementara Dr Mahathir pula menyebut mengenai kepentingan sifat malu. Jika orang Malaysia dapat berasa malu daripada melakukan rasuah, maka ia dapat dibasmikan.

Kerajaan Pakatan Harapan mempunyai tugas besar. Pada satu sisi, ia perlu bersihkan institusi yang diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional.

Pada satu sisi lagi, mereka perlu mentadbir negara dan berpolitik dengan cara berbeza daripada kerajaan Barisan Nasional. Iaitu dengan melaksanakan integriti dalam masyarakat yang korupsi sudah menjadi budaya.

>> Zin Mahmud adalah wartawan yang aktif pada 1980-an, pernah mengetuai Harakah dan bekas editor kanan Utusan Malaysia.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *