Ketua Menteri Melaka ajak orang ramai kutip sampah sebelum pulang selepas hadiri sesuatu program

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari mengajak orang ramai mengutip sampah bersama-sama sebelum pulang selepas menghadiri sesuatu program.

Adly berkata, kempen itu dirancang supaya negeri ini kekal bersih selari dengan visi Melaka Berwibawa, Pintar, Hijau dan Bersih.

Katanya, dalam masa sama memupuk sikap dan memberi kesedaran kepada masyarakat menjaga kebersihan.

“Dengan kempen ini, kita mengharapkan rakyat lebih menitikberatkan aspek kebersihan dalam masa sama, mengurangkan kos.

“Antara lain, menjaga bumi supaya kekal hijau dan bersih,” katanya dipetik Melakakini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Kebangsaan ke-61 Peringkat Negeri Melaka, di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Bandar Hilir, di sini hari ini.

Sementara itu, Adly turut merasmikan kempen berkenaan dan meluangkan masa mengutip sampah bertaburan selepas sambutan berkenaan bersama isterinya, Dalilah Awaludin dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew.

Seramai 9,884 peserta melibatkan 196 kontijen menyertai perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri Melaka di Bandar Hilir di sini, sebentar tadi.

Bermula seawal jam 6.30 pagi, ribuan orang awam dilihat mula membanjiri lokasi perbarisan bagi menantikan perarakan.

Perbarisan yang bermula tepat jam 8 pagi itu, didahului dengan lintas hormat membawa Jalur Gemilang.

Mereka terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan negeri, pelajar dan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi swasta, pasukan badan beruniform sekolah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *