Kerajaan PH tidak arah syarikat Musang King roboh sekatan Orang Asli di Gua Musang

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa hari ini menafikan dakwaan Siti Kasim bahawa pihaknya mengarahkan Orang Asli memberi kebenaran kepada wakil syarikat Musang King melepasi sekatan yang dibina bagi menghalang pembalak dan pengusaha kebun durian memasuki kawasan itu.

Beliau berkata, pencerobohan itu dilakukan oleh syarikat itu sendiri tanpa mendapat sebarang arahan daripada beliau mahupun pembantunya.

“Bila mereka (syarikat Musang King) itu kata nak masuk ke ladang itu, saya suruh mereka tulis surat, dan mereka tulis pada keesokan harinya.

“Tetapi selepas itu mereka terus ceroboh (ladang) dan musnahkan palang di situ, dan ini maknanya niat mereka tidak baik,” katanya kepada FMT ketika ditemui selepas selesai acara sambutan hari kemerdekaan ke-61, kelmarin.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perbincangannya dengan syarikat tersebut seperti yang dituntut peguam dan aktivis sosial itu.

“Mereka hanya ceritakan versi mereka kepada saya, itu sahaja,” katanya.

Terdahulu, Siti mempersoalkan Sivarasa berhubung pertemuannya dengan syarikat pengusaha ladang durian Musang King di Pos Tohoi, Gua Musang awal bulan lalu.

Siti mendakwa, pertemuan itu sangat meragukan kerana selepas sahaja pertemuan diadakan, pembantu Sivarasa bertindak mengarahkan Orang Asli memberi kebenaran kepada wakil syarikat melepasi sekatan yang dibina.

Media sebelum ini melaporkan syarikat perladangan durian Musang King merobohkan sekatan yang dibentuk oleh masyarakat Temiar di Gua Musang.

Terbaharu, kerajaan negeri Kelantan turut bertindak merobohkan sekatan pembalakan yang dibina Orang Asli terbabit.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata tindakan itu dibuat berikutan sekatan itu mendapat aduan daripada kaum Orang Asli di kawasan itu sendiri.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *