Pas Selangor umum pencabar kerusi Azmin dan Khalid Samad

SHAH ALAM: PAS malam tadi mengumumkan pencabar kerusi Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad, lapor FMT.

Percaturan PAS menyaksikan seorang jurutera, Khairil Nizam Khairudin, yang juga timbalan ketua Pemuda PAS akan bertanding di Parlimen Gombak yang disandang Azmin sejak 2008, dan Pengarah Penyelidikan Zuhdi Marzuki di Parlimen Shah Alam yang disandang Khalid sejak 2008.

Mereka sebahagian daripada 30% calon agamawan dan 70% calon profesional yang diketengahkan PAS untuk berdepan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Selangor, kata Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi di hadapan 2,000 penyokong PAS.

Ketua Wanita Nuridah Salleh akan bertanding Parlimen Sungai Buloh, sementara Exco Pemuda Nurul Islam Mohamed Yusoff akan bertanding di Ampang.

PAS sebelum ini menyatakan hasrat untuk menjadi kuasa penentu dalam pembentukan kerajaan negeri akan datang, yang akan memaksa PH atau BN berunding dengan mereka nanti.

Menurut Sallehen, PAS akan bertanding 19 daripada 22 kerusi Parlimen dan 47 daripada 56 kerusi DUN. Selebihnya akan diisi sekutu parti Islam dalam Gagasan Sejahtera (GS) antaranya Parlimen Subang (dulu Kelana Jaya), Damansara (dulu Petaling Jaya Utara) dan Selayang.

PAS berkata majoriti wakil rakyatnya akan mempertahankan kerusi masing-masing dan semua calon-calon PAS yang terpilih sudah berbai’ah.

GS akan meletakkan 9 calon wanita dan 3 calon bukan Melayu. Pakatan itu terdiri daripada PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Pada pilihanraya lepas, PAS memenangi 4 Parlimen dan 15 DUN, bagaimanapun 3 daripada Ahli Parlimen dan 2 Adun keluar menyertai Amanah.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *