Diselar ‘gila’, Rais ingatkan orang kuat Umno jangan sombong

KUALA LUMPUR: Penasihat sosiobudaya kerajaan Tan Sri Rais Yatim tertanya-tanya jika menjadi suatu dosa bagi beliau mencadangkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk mendapatkan panduan semakan kehakiman berhubung status ‘kesahihan’ semasa parti itu.

Beliau mengulas bidasan blogger Umno, Ab Jalil Backer yang menulis “Rais semakin gila” di MyKMU, memberitahu veteran Umno itu untuk meninggalkan parti itu atau “lebih tepat, elok dipecat”.

Hal ini, lantaran gesaan Rais agar majlis tertinggi Umno memohon pengisytiharan di mahkamah sama ada parti itu telah melanggar perlembagaannya atau tidak apabila Umno menangguhkan pemilihannya.

Rais mengakui bahawa sesetengah individu terlalu cepat ‘melatah’ atas cadangan beliau itu.

Bagaimanapun, beliau memberitahu individu terbabit untuk membaca Fasal 10 Perlembagaan Umno serta Seksyen 13 dan 14 Akta Pertubuhan yang menyentuh pembatalan dan penggantungan sesebuah persatuan.

Beliau berkata Umno mestilah sekurang-kurangnya membentuk panel perundangan bagi memperhitungkan nasib parti itu.

“Kemudian, tanya siapa yang menggila (semakin gila). Dengan cara ini, adakah kita telah lupa pada tahun 1988 apabila mahkamah mengharamkan Umno?

“Orang-orang kuat Umno tidak sepatutnya begitu sombong kerana membebankan diri dengan menolak pandangan dan penilaian yang membina,” kata bekas menteri itu kepada Malaysiakini.

“Kelihatan kepada saya sekarang slogan ‘Bersatu, bersetia, berkhidmat’ itu hanyalah sekadar kata-kata semata-mata dalam nyanyian lagu yang dialunkan setahun sekali untuk kemudian dilupakan oleh para panglima perang yang makmur itu.”

Rais bertegas Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak boleh dianggap sebagai pihak berkuasa tertinggi dalam menentukan atau merampas kuasa perlembagaan Umno.

“ROS (ketua pengarah) mesti menunjukkan beliau mempunyai kuasa untuk mengatasi Fasal 10 Perlembagaan Umno itu,” kata Rais sambil menunjukkan ROS hanya memberi lanjutan pemilihan parti itu untuk 18 bulan lagi.

Fasal 9.3 menetapkan majlis tertinggi parti itu dikehendaki mengadakan pemilihan berikutnya dalam masa tiga tahun. Umno telah mengadakan pemilihan parti terakhir pada 19 Oktober 2013 lalu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *