DAP tanding 7 kerusi parlimen, 18 DUN di Perak dalam PRU14

IPOH: DAP akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, dengan menampilkan calon Melayu tunggal pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), lapor Bernama.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan senarai calon itu di Wisma Chin Woo di Ipoh malam tadi.

Pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari yang akan bertanding di DUN Tebing Tinggi, merupakan antara enam muka baharu yang akan bertanding pada pilihan raya umum kali ini.

Lima lagi muka baharu yang bakal bertanding di DUN Perak ialah Jenny Choy Tsi Jen (Canning), Cheah Poh Hian (Jelapang), Steven Chaw (Menglembu), Chang Zhemin (Keranji) dan Teoh Yee Chern (Astaka yang sebelum ini dikenali sebagai Sitiawan).

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming diumumkan akan bertanding di DUN Aulong (beralih dari DUN Kepayang) dan kerusi Parlimen Teluk Intan yang disandang Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

DAP Perak akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen iaitu Taiping, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Batu Gajah, Beruas, Kampar dan Teluk Intan.

Setiausaha DAP Perak yang juga penyandang kerusi Canning, Wong Kah Wah akan bertanding di Parlimen Ipoh Timur manakala Teh Kok Lim (penyandang kerusi Pokok Asam) akan bertanding di Parlimen Taiping.

Bagi kerusi Parlimen, M. Kulasegaran akan bertanding di Ipoh Barat, V. Sivakumar (Batu Gajah), Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas), Thomas Su (beralih daripada Ipoh Timur ke Kampar).

Pada PRU13, Barisan Nasional (BN) menang 31 daripada 59 kerusi DUN Perak, DAP 18 kerusi manakala PKR dan PAS masing-masing lima kerusi.

Setakat ini, PKR Perak mengumumkan akan bertanding di lima kerusi Parlimen dan 14 kerusi DUN manakala AMANAH Perak bakal bertanding di empat kerusi Parlimen dan 12 DUN pada PRU14.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *