Akhbar rasmi Pas Harakah RM2 pun ahli parti tak nak beli kata Mahfuz

KUALA LUMPUR: Akhbar Harakah yang berharga RM2 pun tidak dibeli oleh ahli PAS, bagaimana mereka dapat menyumbang RM35 setiap orang kepada parti itu, soal Anggota Parlimen sementara Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan semalam yang mengatakan parti itu mampu bertanding di 160 kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menerusi sumbangan sejuta ahli.

“Jangankan RM35 seorang, hendak beli Harakah RM2 senaskhah pun ahli tak nak.

“Macam mana Datuk Takiyuddin boleh berbangga sejuta ahli PAS sanggup berkorban untuk sumbang RM35 seorang?” soal Mahfuz dalam kenyataan medianya.

Terdahulu Takiyuddin berkata terdapat pelbagai pihak yang menyalurkan sumbangan secara bulanan kepada parti itu.

Katanya selain mendapat dana daripada anggota parti, PAS juga menerima sumbangan daripada orang luar atau sumber lain yang diterima selepas dipastikan halal.

“Duit PAS ada di dalam poket ahli-ahli kami. PAS ada sejuta ahli dan jika seorang ahli sumbang RM35, kita dah ada RM35 juta,” kata Takiyuddin.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Mahfuz mengenai daripada mana parti itu memperoleh dana pilihan raya yang dianggarkan sekurang-kurangnya berjumlah RM34.4 juta.

Ahli PAS boikot Harakah?

Mengulas lanjut Mahfuz mendakwa ada kakitangan Harakah terpaksa diberhentikan, ditukar jabatan dan lidah rasmi PAS itu distruktur kembali kerana kekurangan dana.

“Mungkinkah ahli PAS sendiri boikot Harakah, tetapi masih mahu mempertahankan PAS untuk pilihan raya dan menderma untuk pilihan raya,” soalnya.

Mahfuz berkata sekiranya benar kenyataan Takiyuddin, beliau mempersoalkan mengapa penerbitan Harakah tidak mampu menampung kos operasinya.

“Bukankah Harakah adalah lidah rasmi PAS yang mesti dipertahankan hidup dan matinya? Bukankah PAS juga telah membuat kempen sumbangan bagi membantu mempertahankan penerbitan Harakah dengan harga RM2 senaskah seorang.

“Walaupun RM2 senaskah seorang, Harakah masih lagi merudum jualannya kerana ahli PAS sendiri tidak mahu menyumbang dan membelinya. Sepatutnya dengan keahlian PAS, 1 juta Harakah tak sepatutnya dicetak 30,000 naskah sahaja,” katanya.

Beliau turut mengimbas pengalaman dalam PAS apabila kempen mengutip derma daripada ahli masih gagal mengutip sumbangan seperti disasarkan.

“Tiba-tiba dalam PRU14, PAS umumkan nak bertanding lebih 160 kerusi parlimen dan mendakwa dana diambil daripada poket ahli-ahli PAS. Hebat sungguh.

“Kenyataan Datuk Takiyuddin bukan menjawab persoalan yang ditimbulkan, bahkan menimbulkan suatu persoalan lebih besar, dari mana dana PAS sebenarnya bagi membiayai PRU ke-14 ini,” kata Mahfuz.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *