Tiada halangan calon Pakatan Harapan guna lambang PKR, kata SPR

KUALA LUMPUR: Tiada halangan untuk calon parti politik yang bertanding atas tiket PKR untuk menggunakan lambang parti itu selagi dibenarkan oleh PKR, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan semalam.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata parti politik yang bertanding mestilah berdaftar, dibenarkan menjalankan aktiviti bawah Akta Pertubuhan dan perlu membawa surat kebenaran bertulis untuk calon.

“Mana-mana parti politik yang bersetuju membenarkan mana-mana calon bertanding mewakili parti politik berkenaan diminta membawa surat kebenaran bertulis,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kebenaran bertulis itu harus ditandatangani pegawai parti yang membenarkan calon itu menggunakan logo parti, selaras Peraturan 11(2)(d) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

“Calon yang tidak mendapat kebenaran bertulis daripada parti ingin diwakilinya, sekiranya layak bertanding, pegawai pengurus akan memperuntukkan kepadanya lambang sedia ada yang ditetapkan sebagai ganti,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Mohd Hashim menegaskan, selagi syarat tersebut dipenuhi, mana-mana calon layak mewakili parti yang memberikan kebenaran bertulis itu dan tiada peruntukan menyatakan ahli parti hanya dibenarkan mewakili partinya sahaja.

“SPR tidak pernah menghalang selagi mana peruntukan dalam Perkara 11(2)(d) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 tersebut dipatuhi sepenuhnya,” katanya sambil memberitahu, peraturan dan garis panduan lengkap tentang penggunaan lambang dan bahan kempen bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

Pada 6 April lalu, Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan semua calon DAP, Amanah dan PPBM akan bertanding bawah lambang PKR selepas mereka tidak dapat mendaftarkan PH untuk pilihan raya umum akan datang.

Semalam, Dr Mahathir berkata pihaknya mahu bertemu SPR bagi mendapatkan pengesahan tentang penggunaan lambang PKR oleh calon-calon mereka.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *