Takiyuddin beri amaran, Nik Omar boleh cari parti lain kalau tak percaya Pas

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menasihatkan anak bekas Mursyidul Am PAS Nik Omar Nik Abdul Aziz untuk berhijrah ke parti lain sekiranya tidak ada lagi rasa percaya kepada parti itu.

“Kalau tidak ada kepercayaan kepada PAS mereka boleh cari parti lain.

“Tapi saya tidak pernah dengar Nik Omar bercakap tentang perkara yang melanggar atau bercanggah dengan perlembagaan parti.

“Semua orang yang masih menjadi ahli PAS perlu akur terhadap perlembagaan PAS dan salah satu tidak membuat kenyataan atau tindakan yang bercanggah kepentingan PAS itu sendiri serta boleh menjatuhkan imej, maruah dan kepercayaan kepada PAS,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur kelmarin.

Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Omar yang dilihat berpihak kepada HARAPAN dengan menyarankan agar PAS perlu menyedari kelemahan.

Dalam kenyataan itu, Nik Omar juga berkata HARAPAN berpeluang mengambil alih kerajaan negeri Kelantan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin bagaimanapun berkata bahawa kenyataan itu merupakan pandangan peribadi Nik Omar.

“Itu pandangan peribadi beliau dan saya sendiri tak dengar, hanya cakap-cakap orang dan semua orang ada peluang,” katanya.

Nik Omar yang sebelum ini diuar-uarkan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) menafikan perkara itu dengan menjelaskan bahawa ibunya tidak setuju beliau menyertai politik.

Terdahulu, Naib Presiden AMANAH Husam Musa turut menawarkan kerusi untuk beliau bertanding sebagai calon AMANAH.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *