Semua mahu bebas daripada GST seperti dinikmati syarikat China

Berikutan pengesahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bahawa syarikat CCCC, kontraktor yang melaksanakan pembinaan ECRL telah diberi pengecualian cukai GST, ramai yang bersuara menyatakan rasa tidak puas hati mengenainya.

Alasan kononnya pengecualian cukai itu untuk mengurangkan kos pembinaan dan kerana ECRL adalah kepunyaan kerajaan yang mana akhirnya kerajaan juga dikatakan harus menanggung bebanannya, maka sebab itu pengecualian cukai diberikan kepada CCCC, nampaknya langsung tidak dapat diterima.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Steven Sim menyoal, jika itu alasannya, bagaimana dengan projek-projek awam lain yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat tempatan?

Dengan alasan yang sama, kata beliau, kerajaan juga sepatutnya memberi pelepasan cukai GST kepada pihak dalam negara, misalnya kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan yang melaksanakan projek-projek untuk kepentingan awam.

Malangnya, tambah Steven Sim, perkara itu tidak berlaku di mana syarikat tempatan dan kerajaan negeri terus menanggung cukai GST di saat syarikat daripada China dikecualikan daripadanya.

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu atau MTEM pula terang-terang tidak dapat menerima alasan pengecualian cukai yang diberikan kerajaan kepada syarikat China itu dengan tujuan untuk menjimatkan kos dan mengelakkan perbelanjaan bertindih.

“Jika logik itu mahu digunakan, kerajaan sepatutnya menyerahkan saja semua projek pembangunan negara ini kepada syarikat-syarikat daripada China kerana ia ternyata ada lebih kebaikan,” kata CEO MTEM, Ahmad Yazid Othman dengan nada menyindir.

Persatuan Kontraktor Kelas F juga meluahkan bantahan dengan berkata, jika cukai GST dilaksanakan untuk membantu pendapatan negara, syarikat yang melaksanakan projek-projek besar lebih patut dikenakan cukai tersebut.

“Saya memang kurang selesa dengan keadaan ini sebab ada semacam sikap pilih kasih oleh kerajaan.

“Kita beli bahan-bahan mentah seperti simen dan paku pun kena bayar GST dan sebagai syarikat besar, CCCC juga sepatutnya dikenakan cukai yang sama kerana mereka melaksanakan projek dalam negara ini,” kata presiden persatuan itu, Tukimah Radion.

Sekarang macam mana?

Jika syarikat China diberikan pengecualian cukai GST, syarikat tempatan dan rakyat Malaysia juga mahukan keistimewaan yang sama.

Ini kerana jika alasannya CCCC melaksanakan projek kerajaan dan untuk kepentingan awam, syarikat-syarikat tempatan juga melaksanakan projek kerajaan dan untuk kepentingan awam.

Tetapi, kenapa hanya syarikat daripada China dikecualikan GST?

Sudahlah mereka dapat projek tanpa sebarang tender dan diberi kebenaran pula membawa masuk pekerja-pekerja daripada China, kini diberi lagi pengecualian cukai GST.

Wahhh…seronoknya orang negara China dapat macam-macam keistimewaan!!

Kalau begitu, apa makna slogan “Hidup Rakyat” dalam poster-poster dan kain rentang untuk kempen BN menjelang hari pengundian pada 9 Mei depan?

Siapa yang Najib dan BN mahu hidupkan – syarikat China atau rakyat Malaysia sendiri?

Jawapannya mudah saja, kiranya GST itu membebankan dan semua orang tidak mahu kepadanya, malah Najib sendiri sedar GST akan membebankan CCCC, lalu syarikat itu diberikan keistimewaan tidak perlu membayarnya, pilihan ada di tangan pengundi semua pada 9 Mei nanti.

Undi dan menangkan Pakatan Harapan, semua orang akan terlepas daripada cengkaman GST yang menjerut leher sehingga ramai selama ini hampir-hampir nak mati dibuatnya.

Terus memberi kemenangan kepada BN, hanya syarikat China yang dapat keistimewaan tidak perlu bayar GST, manakala untuk kita, kadarnya tidak mustahil akan dinaikkan lagi.

>> Komentar bebas Shahbudin Husin, penganalisa isu semasa I 19 April 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *