Rakyat bersatu bantu pengundi pulang mengundi pada Rabu 9 Mei

KUALA LUMPUR: Apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Rabu sebagai hari mengundi, Gan Sue Ling tahu ramai pengundi mungkin tidak dapat membuang undi.

Kebimbangan perunding produk dan aplikasi sistem itu disahkan apabila beliau melihat pengguna media sosial mengeluh mengenai masalah kewangan dan cara pulang ke kampung masing-masing.

“Di Amerika Syarikat, tarikh pemilihan presiden ditetapkan jauh lebih awal. Tetapi di sini, ia tidak ditetapkan lebih awal, jadi sukar untuk rakyat merancang perjalanan pulang lebih awal,” kata wanita berusia 31 tahun itu kepada FMT.

Berdasarkan keperluan untuk membantu pengundi menunaikan tanggungjawab sivik mereka, Gan dan teman lelaki yang juga seorang pemaju, Wong You Jing, segera mewujudkan laman web, www.pulangmengundi.com sebagai platform untuk membantu rakyat memerlukan bantuan kewangan.

“Ideanya ialah untuk mempunyai tempat di mana mereka yang memerlukan bantuan kewangan atau subsidi boleh mendapatkannya, dan orang boleh menghulurkan bantuan secara terus,” kata Gan.

Tetapi, bagaikan nasib menyebelahi mereka, domain itu dibeli 3 individu, Timothy Teoh, Grace Look dan Andrew Loh, yang bercadang menubuhkan sebuah laman web memudahkan pengundi berkongsi kereta pulang ke kampung.

“Kami menghubungi Timothy, Grace dan Andrew yang langsung kami tidak kenal. Kami kemudian bersetuju menggabungkan idea bersama dalam satu laman web.”

Mereka yang melayari pulangmengundi.com boleh berkongsi kereta atau subsidi bagi perbelanjaan perjalanan. Mereka juga boleh mendaftar sebagai pemandu perkongsian kereta atau menyumbang perbelanjaan perjalanan.

“Kami tidak terima sebarang wang. Mereka yang memerlukan bantuan perlu memberikan butiran asas seperti kad pengenalan, nombor telefon mereka, e-mel dan profil Twitter atau Facebook supaya penyumbang boleh mengesahkan mereka adalah pengundi berdaftar.

“Sebaik-baiknya, jika seseorang memerlukan subsidi, lebih baik penyumbang membeli tiket bas atau penerbangan untuk pemohon supaya mereka tahu wang mereka benar-benar membantu seseorang menggunakan hak mereka untuk mengundi.”

Laman web yang dilancarkan Jumaat lepas, menarik kira-kira 4,000 penyumbang dan 2,000 pemandu perkongsian kereta. Ia turut menghubungkan mereka dengan pengundi, sama ada yang memerlukan wang atau pengangkutan.

“Kami menerima 934 permintaan untuk subsidi, dengan 1/3 daripadanya adalah pengundi Sabah.

“Kami juga menghubungkan 1,100 pemandu perkongsian kereta,” kata Gan sambil menambah sebanyak RM8,030 disumbang sebagai subsidi.

Gan berkata, mereka bekerjasama dengan kumpulan lain untuk matlamat sama, termasuk carpoolGE14, #pulangmengundi dan balik.undirabu.com – laman web membabitkan pengumpulan dana untuk menyewa bas bagi laluan tertentu.

“Dengan cara ini, jika rakyat memerlukan pengangkutan ke tempat yang dilalui bas itu, mereka boleh menaiki bas tersebut supaya ada lebih banyak ruang bagi mereka yang perlu berkongsi kereta.”

Dua minggu selepas pilihan raya umum ke-14, semua data dalam pulangmengundi.com akan dipadamkan.

“Kami mungkin mewujudkan (laman web itu) semula untuk PRU15 memandangkan kami sudah membangunkan model itu. Tetapi, buat masa ini, kami memfokuskan PRU kali ini,” kata Gan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *