Naib Presiden PKR nafi akan ganti ibunya di Parlimen Permatang Pauh

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menolak spekulasi beliau akan menggantikan ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di kubu kuat parti itu, Permatang Pauh pada pilihan raya umum ke-14.

“Kami (pucuk pimpinan PKR) masih membincangkan pembahagian kerusi.

“Saya akan ke Johor esok dan saya harap tiada khabar angin mengatakan saya akan bertanding di sana,” katanya di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Kelmarin, Wan Azizah yang juga presiden PKR dan Pakatan Harapan dilaporkan tidak menolak kemungkinan akan melepaskan kerusi Permatang Pauh dan berpindah ke Parlimen Pandan.

Ia susulan spekulasi mengatakan Wan Azizah akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rafizi Ramli di Pandan.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh ialah kerusi tradisi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau bertanding dan memenangi kerusi itu sejak 1982, kecuali pada 1999, 2004 yang dimenangi isterinya, Wan Azizah.

Wan Azizah memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU12 dengan kelebihan 13,388 undi, sebelum meletak jawatan pada 31 Julai 2008 untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di pilihan raya kecil pada 26 Ogos 2008 dengan majoriti lebih besar, 15,671 undi.

Pilihan raya kecil diadakan di Permatang Pauh pada 7 Mei 2015, apabila Anwar hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja ketua umum PKR itu yang didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Wan Azizah berjaya menewaskan 3 pencabar lain dengan kelebihan 8,841 undi pada 2015.

Nurul Izzah memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada 2008 selepas mengalahkan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dengan majoriti 2,895 undi dan bekas menteri Wilayah Persekutuan dan kesejahteraan bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin dengan kelebihan 1,847 undi pada 2013.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *