Demokrasi Bugis dulu-dulu sudah ada gagasan demokrasi bersih dan sihat

Pada kurun ke-15 dan 16, di Sulawesi Selatan, di sebuah wilayah Bugis, sudah terdiri sebuah kerajaan Wajo’ yang demokratik.

Menurut buku “Lontara’ Sukku ‘na Wajo’” setebal 600 halaman folio yang disusun oleh Andi’ Makkaraka, sebelum Perang Dunia Kedua, orang Wajo’ Bugis sudah mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi dalam pemerintahan mereka. Lontara di sini bermaksud gulungan dedaun yang dicatat episod sejarah.

Berdasar manuskrip itu, kita mengetahui di Wajo’ terdapat pentadbiran pusat yang dijalankan oleh sebuah dewan yang jumlah anggotanya cukup besar, memiripi parlimen. Lontara Wajo’ itu juga memberi gambaran yang sangat mengujakan, iaitu betapa to Wajo’ atau rakyat Wajo’ boleh secara tidak langsung mempengaruhi jalan pemerintahan dan telah diberi hak-hak kebebasan mereka sebagai rakyat.

Apa yang lebih melongokan, kerajaan Wajo’ pada waktu itu masih baharu menerima agama Islam, dan juga belum begitu dikenal orang asing (Belanda).

Ini bermakna, sistem demokrasi yang mereka binakan itu datangnya dari kearifan sendiri, dan merupakan bahagian dari akal budi keluarga bangsa Melayu yang besar.

Para pengembara dan orientalis Barat seperti van Effelen dan vide Matthes yang mengunjungi Wajo’ kemudiannya turut mencatatkan kaum Bugis Wajo’ ini berwatak mulia kerana membenci perhambaan dan penganiayaan, mencintai kebebasan, bersikap terbuka dan teguh memegang janji.

Adalah dipercayai Lontara Wajo’ ini memperihalkan kerajaan Bugis tersebut sejak 1610, iaitu bila pemimpinnya Arung Matoa Sangkuru Patau’ Mulajaji memeluk agama Islam.

Intipati Lontara Wajo’ ini ada dipaparkan di dalam novel karangan saya “Profesor” (2017) dan terserlah bila mana ia menjadi kunci rahsia masa silam watak Dalila.

Ingatan kepada pemimpin

Antara muatan yang menarik dan segar dari Lontara Wajo’ ini adalah ingatan mengenai hak rakyat jelata iaitu agar pemimpin menunaikan janji dan tidak berbohong, agar tidak mengabaikan adat sebagai tata undang-undang masyarakat, tidak boleh merampas harta rakyatnya, tidak boleh menahan rakyat sesewenang-wenang, tidak boleh menghambakan orang dan memutuskan sesuatu sesuka hati, dan tidak dibenar mencabul hak manusia lain.

Dalam bahagian lain Wajo’ terdapat ingatan agar sang Raja merujuk kepada adat sekiranya tidak menemukan kaedah penyelesaian, yang disebut tuppu’ wari’ dan rapang, dan didorong supaya melakukan perbincangan melibatkan Raja, rakyat, dan kaum tua.

Jika hasil yang diperolehi membawa kepada solusi negatif, mereka harus terus berunding agar beroleh hasil positif. Jika hasil itu positif maka ia wajar diteruskan. Siri perbincangan yang disebutkan ini adalah ilustrasi masyarakat tradisional Bugis dalam berparlimen:

[109. Makkedai Batara Wajo’ La Tenribeli ri sappo sisenna ri Pa’.danrengngé iatellu: “Narékko engka bicara tenrita unganna, nadé’ ri.ade’ marajaé, nadé’ ri ade’ abiasangngé, nade’ ri tuppu’é, nadé ri wari’e’, nadé’ ri rapangngé,inappani riasmaturusi arumpanua macoa malolo, naripada mutanai nalae’ nawa-nawanna, bara’ engkamua de’céng na’bereang Dëwata Seuae. Naia riassiturusi mappaolang ria’benruseng. Ianatu riaseng ade’ assituruseng. Narékko maja’i cappa’na riassiturusisi naripinra, narékko madécénni ripakkoli’-kolingngi, ripannennungiwi.]

Terjemahannya: “Bertitah Batara Wajo’ La Tenribali kepada sepupunya, Pa’danreng: Bila ada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan diuruskan menurut adat besar atau adat kebiasaan, tuppu’ (iaitu pelbagai lapisan adat), wari’ (adat mengenai bagaimana membezakan sesuatu dan adat mengenai akhlak), rapang (adat berkaitan undang-undang), maka dibincang oleh raja dan rakyat, iaitu tua dan muda dan semua hendaklah ditanya dan ditimbang menurut lojik akal mereka, supaya mendapat kebaikan dari Tuhan Yang Maha Esa. Demikianlah disepakati dan dilaksanakan apa yang telah diputuskan. Itulah yang kita namakan adat berasaskan persetujuan. Jikalau hasilnya buruk, maka dibincangkan lagi dan disepakati untuk diubah, dan jikalau baik, diteruskan sahaja pelaksanaannya.”

Pemerintahan Wajo’ juga memerdekakan hidup rakyatnya. Jauh sebelum Piagam Hak Asasi Manusia moden digubal pada 1948, umat Melayu, atau lebih khusus Bugis Wajo’sudah mengenal kebebasan individu.

[185. Makkedatoi Petta To Taba’: “Maradéka to Wajo’é, najájiang alena, tanaemi ata ri assiturusertna Wajo’, naia napo puang”. Nakado to Wajo’e’.]

Terjemahannya: “Bertitah pula Tuan kita To Taba’: Orang-orang Wajo’ adalah bebas, melahirkan anak-anak sendiri, sebaliknya negerilah yang menjadi abdi dan ini berasaskan muafakat Wajo’ dan rajanya. Orang-orang Wajo menerima keputusan ini.”

Dalam bahagian lain Lontara Wajo’ ini Raja atau pemimpin diberi ingatan mengenai kontrak mereka dengan rakyat bahawa “tidak boleh menyalahgunakan hak-hak kebebasan”, dan “takut kepada Tuhan Yang Maha Esa, dengan menghormati darjat sesama kita manusia, berdiri di jalan yang lurus dan jangan meninggalkan kebenaran”.
Pa’batang atau undang-undang berbentuk larangan yang digubal bukanlah untuk menindas dan mengekang rakyat tetapi berfungsi selaku tempat berlindung orang-orang yang tertindas dan jujur dan tempat mencegah orang yang kuat dan menyeleweng, oleh kerana itu ia menjadi pagar negeri dari orang yang berbuat sesuka hati.

Demokrasi dan kakistokrasi

Demokrasi bersih Bugis Wajo’ tentu sahaja tidak mencerminkan pemerintahan kakistokrasi yang terma ini kembali digunakan mutakhir.

Kakistokrasi bererti sebuah pemerintahan yang berada di tangan orang yang paling teruk dan tidak layak memimpin.

Jika demokrasi terbina dari demo (rakyat), auto (satu), dan aristos (kecemerlangan), terma kakistokrasi ini menerangkan negara atau masyarakat berada di bawah pimpinan mereka yang tidak seharusnya dibenar mengetuai sebuah kerajaan atau pentadbiran, ini dihujahkan lantaran tiadanya kualiti kepimpinan dan keluhuran yang terserlah pada diri pemimpin tersebut.

Pada 1838, Thos. W. White, dalam menggambarkan nasib orang kulit hitam di Amerika Syarikat, menulis di dalam jurnal sastera, Southern Literary Messenger, mengenai perlu adanya tekad anggota masyarakat untuk bertindak membetulkan keadaan.

Beliau merujuk kata kakistokrasi ini begini: “Keadaan ini akan berpanjangan sehingga anarki sejagat, atau kakistokrasi, sebuah kerajaan paling keji dan nista, menjadi mutlak.”

Sungguh lara dan murung memikirkan, Amerika Syarikat pada waktu itu dirujuk sebagai dunia di bawah telapak kakistokrasi, sedang di alam Melayu, seawal 1610, khusus di negeri Bugis Wajo’ sudah ada gagasan dan amalan demokrasi yang bersih dan sihat.

Nota: Artikel memanfaatkan tesis PhD Andi Zainal Abidin Farid. 1979. ‘Wajo’ Pada Abad XV- XVI: Suatu Penggalan Sejarah Terpendam Sulawesi Selatan dari Lontara’ (Fakulti Ilmu Sastera, Universiti Indonesia, Jakarta).

>> Komentar bebas Faisal Tehrani, nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia I 19 April 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *