Amanah Perlis umum 4 calon bertanding PRU14

ARAU: PRU14 l Parti Amanah Negara (PRU14) Perlis menamakan empat calonnya yang dipilih bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), lapor Bernama.

Pengerusinya Wan Kharizal Wan Khazim berkata mereka ialah beliau sendiri yang bertanding DUN Beseri (N02); Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Perlis, Che Mazlina Che Yob, 55, di DUN Santan (N05).

Anggota jawatankuasa AMANAH bahagian Kangar, Mokhtar Che Kassim, 52, di DUN Bintong (N06) dan Timbalan Pengerusi AMANAH Perlis, Ustaz Zolkharnain Abidin, 51, di DUN Sanglang (N15).

Dalam kenyataan media semalam, Wan Kharizal, 56, berkata keputusan agihan kerusi dicapai dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH) Perlis, baru-baru ini.

Pengumuman ini bermakna hanya PKR yang belum mengumumkan calon-calon mereka manakala DAP yang bertanding satu kerusi sahaja di DUN Titi Tinggi menamakan Pengerusi negeri Perlis, Teh Seng Chuan sebagai calon.

DUN Titi Tinggi yang disandang Barisan Nasional (BN) diwakili oleh MCA.

PKR diperuntukkan satu kerusi Parlimen iaitu Kangar dan lima kerusi DUN iaitu Chuping, Sena, Indera Kayangan, Kuala Perlis dan Simpang Empat.

PKR dijangka mengumumkan calon-calonnya pada 24 April ini dalam majalis memperkenalkan calon-calon PH di pusat khidmat PKR di Taman Sri Firdaus di Kangar.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telahpun mengumumkan calon-calon yang bertanding kerusi Parlimen Padang Besar dan Arau manakala DUN ialah Pauh, Guar Sanji, Mata Ayer, Tambun Tulang dan Kayang.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *