Tsunami Langkawi, tsunami Putrajaya – Pakatan Harapan makin mara

Tun Mahathir Mohamad kini sah akan bertanding di Langkawi sebagai tiketnya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7 mewakili Pakatan Harapan selepas 9 Mei depan.

Untuk tujuan itu, Tun Mahathir bukan saja mesti menang di Langkawi, tetapi juga wajib memastikan UMNO dan BN dapat ditumbangkan kali ini.

Meskipun kedua-dua matlamat itu tidak mudah dan sentiasa memerlukan kerja keras yang berterusan sehingga detik akhir hari pengundian, tetapi semuanya tidak mustahil untuk dijayakan.

Apatah lagi, sejak beliau meninggalkan UMNO, menubuhkan Bersatu dan kemudian mengetuai Pakatan Harapan, gabungan pembangkang itu sentiasa menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan serta mendapat sambutan yang amat-amat menggalakkan daripada rakyat seluruh negara.

Menumbangkan UMNO dan BN tidak mustahil kerana parti itu bukanlah keramat yang tidak boleh dikalahkan sama-sekali. Ia sama saja seperti parti-parti yang menguasai kerajaan lain di dunia yang pernah berkuasa, kemudian bertukar menjadi tamak haloba dan akhirnya tumbang kerana rakyat tidak kuasa lagi bernaung di bawahnya.

UMNO dan BN sudah berkuasa terlalu lama sebenarnya. Tempoh lebih 60 tahun berkuasa itu telah menjadikan pemimpinnya lupa diri, bongkak dan mempunyai sifat yang tiada hadnya kerana mereka selalu beranggapan parti mereka akan kekal menggenggam kuasa buat selama-lamanya.

Sebarang percubaan untuk menumbangkan UMNO dan BN kerapkali dianggap sebagai mahu menjatuhkan kerajaan dan mengancam masa depan orang-orang Melayu, meskipun yang mahu mengganti itu adalah parti dan pemimpin daripada kelompok Melayu juga.

Secara amnya, orang Melayu masih takut untuk berubah. Ia sebahagiannya kerana UMNO dan BN kekal menjadikan mereka miskin, ketinggalan, tidak terdedah kepada maklumat luar dan perlu bergantung kepada bantuan tunai untuk meneruskan kehidupan.

Namun, dengan salah laku dan kerosakan yang diakibatkan oleh Najib kepada negara dan rakyat sejak 2009 lalu, kesedaran kepada perubahan kini boleh dikata sudah mencapai kemuncaknya.

Ia ditambah lagi dengan dunia kini semakin terbuka sehingga rakyat yang kedinginan menderita sewaktu banjir misalnya dengan mudah didedahkan bagaimana Najib sedang meluangkan masa bermain golf di Amerika pada waktu yang sama.

Untuk memastikan negara dapat diselamatkan dan perubahan yang diimpikan rakyat menjadi kenyataan, apa yang dikatakan tsunami rakyat mesti dijadikan kenyataan kali ini.

Tsunami itu bukan saja untuk memenangkan Tun Mahathir di Langkawi yang mana BN sebelumnya mempunyai kelebihan majoriti sebanyak 11,861 undi, tetapi juga bagi memastikan Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan dengan mengurangkan jumlah kerusi BN daripada 133 sekarang ini kepada kurang daripada 112.

Jika Tun Mahathir menang di Langkawi, tetapi Pakatan Harapan kalah dalam perjuangan menawan Putrajaya atau Pakatan Harapan berjaya menguasai Putrajaya, namun Tun Mahathir kalah di Langkawi – kedua-dua keadaan itu tidak memberi makna apa-apa kepada kita semua.

Kejayaan sebenar perubahan dan agenda menyelamatkan Malaysia ialah kedua-duanya, Tun Mahathir dan Pakatan Harapan mesti menang di Langkawi dan dapat menguasai Putrajaya.

Meskipun respon awal memperlihatkan harapan cerah untuk Tun Mahathir menang di Langkawi, begitu juga untuk Pakatan Harapan menguasai Putrajaya, tetapi semuanya tidak mustahil untuk berubah di saat-saat akhir sebelum hari pengundian.

Harus diakui perhitungan PRU 14 bagi Najib ialah hidup bebas merdeka atau mengakhiri hidupnya penjara. Tidak mustahil beliau akan melakukan apa juga usaha, malah kekotoran untuk memastikan kemenangan tetap menjadi miliknya.

Sebab itu, pilihanraya kali ini bukan saja tentang tsunami Melayu, tsunami Langkawi, tsunami Cina, tsunami India atau tsunami Sabah yang diperlukan untuk merubah keadaan, tetapi yang lebih penting ialah memastikan berlakunya tsunami yang melibatkan seluruh rakyat Malaysia.

Hanya tsunami rakyat dapat menggagalkan segala kerja kotor, perancangan jahat dan penggunaan wang secara besar-besaran untuk tujuan menafikan kemenangan Pakatan Harapan.

Jika rakyat dan generasi akan datang mahu lebih terjamin kehidupan masa depan mereka, tsunami 9 Mei nantilah penentuannya. Tsunami itu bukan semata-mata untuk menyingkirkan Najib, UMNO dan BN atau menaikkan Tun Mahathir serta Pakatan Harapan, tetapi tsunami itu adalah untuk faedah dan kebaikan kita semua.

>> Komentar bebas Shahbudin Husin, penganalisa politik semasa I 18 April 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *