Tohmahan Pakatan Harapan musuhi Islam tidak berasas hanya propaganda jahat

KUALA LUMPUR: Percubaan untuk memberi gambaran kononnya Pakatan Harapan (PH) adalah satu gabungan untuk memusuhi Islam adalah tidak berasas dan berniat jahat.

“Asas gabungan ini ialah untuk mencari kebaikan kepada rakyat dan negara yang begitu jelas sedang dikhianati oleh mereka yang berada di puncak kuasa,” kata bekas Imam Masjid Galok, Pasir Mas, Ustaz Ali Abdu Rahman Hasan yang ditemubual semalam.

Bekas Imam Masjid Galok, Pasir Mas, Ustaz Ali Abdu Rahman Hasan

Umat Islam katanya, perlu bersama siapa sahaja yang berusaha memperjuangkan kebaikan walaupun ada dalam kalangan mereka orang-orang yang tidak beragama Islam, lapor Malaysia Dateline.

“Dengan tindakan-tindakan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang terang-terang merosakkan negara dan menganiayai rakyat, kita semua perlu bergabung untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih baik dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

“Untuk tujuan itu tentulah kita memerlukan semua kumpulan rakyat yang sanggup berkorban walaupun berhadapan dengan pelbagai risiko menghadapi kezalliman pemerintah.

“Kita harus bersyukur kerana dengan kebijaksanaan para pemimpin, kini, satu gabungan mantap berjaya diwujudkan,” katanya.

Gabungan seperti ini katanya, jelas matlamatnya untuk mengalahkan BN dan menggantikannya dengan sebuah pemerintahan baharu yang pastinya lebih mesra rakyat dan memperkuatkan negara.

“Dalam keadaan ini adalah pelik bila ada mereka yang mengaku memperjuangkan Islam tetapi tidak mahu bersama-sama kumpulan yang berazam menumbangkan sebuah kezaliman.

“Lebih pelik lagi, kumpulan yang berjuang menentang kezaliman ini pula yang dituduh memusuhi Islam,” katanya.

Kewujudan golongan-golongan bukan Muslim dan mereka yang kurang beragama turut menyokong katanya tidak mengubah matlamat suci menyelamatkan rakyat.

“Umat Islam tidak dilarang berpakat dengan kumpulan manapun atas tujuan melakukan usaha yang bermatlamat baik.

“Perkara ini tentu sekali tidak menyentuh soal aqidah dan keIslaman seseorang,” katanya.

Ustaz Ali atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Ime Li’ merupakan penyelaras AMANAH Dun Chetok.

Beliau yang juga seorang guru agama di sekolah Yayasan Islam Kelantan dipecat daripada menjadi Imam Masjid Mukim lebih setahun lalu yang dipercayai atas sebab politik.

Ramai yang menjangka beliau akan bertanding sebagai calon PH dengan simbol PKR dalam PRU14 ini.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *