Dilema pengundi Pas, pemimpin atasan menukar-tukar jumlah kerusi

Dua hari lepas, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Pas akan bertanding 160 kerusi parlimen.

Angka yang beliau sebut ini bagi kebanyakan penganalisa politik adalah di luar kemunasabahan. Tidak ada satu pun parti politik termasuk Umno yang pernah bertanding sebanyak itu.

Selain dari faktor kekuatan jentera pilihanraya, faktor kewangan juga menjadi tanda tanya besar. Apapun, Pas berhak bertanding di sebanyak kerusi yang mereka mahu.

Pas sering mengubah angka sasaran dan jumlah kerusi yang mahu dipertandingkan. Bermula dari 70 kepada 80, 120, 130, 150 dan yang terbaru dua hari lepas sebanyak 160 kerusi.

Bagi saya angka ini terpaksa diubah-ubah kerana mahu menjawab persoalan yang berlegar di kepala para penyokong Pas sendiri.

Kalau mahu bertanding 70 kerusi parlimen, retorik mahu mentadbir kerajaan Islam dan melaksanakan syariat Islam kelihatan seperti tidak berpijak di bumi nyata.

Teori ‘king maker’ pula tersembam dengan persoalan ‘dengan siapa Pas mahu bentuk kerajaan nanti?’.

Apakah Pas sanggup bersama BN yang akan meneruskan GST yang mereka sendiri sebut sebagai ‘haram’? Apakah Pas sanggup pula membentuk kerajaan dengan PH yang mereka tuduh sebagai ‘musuh Islam’? Hakikatnya, menjadi ‘king maker’ bukan pilihan yang ada pada PAS. Pilihan yang ada cuma untuk kekal sebagai pembangkang, sama ada dengan kerusi atau tiada kerusi.

Jelas, andaian awal untuk bertanding 70 kerusi dengan sasaran menang 40 kerusi tidak membantu naratif perjuangan parti tersebut di dalam percaturan politik kuasa. Angka itu perlu diubah dan akhirnya membawa kepada 130 kerusi.

Tetapi dilema itu tetap tidak berakhir. Pas tetap berhadapan dengan persoalan dari penyokong mereka.

Katakan Pas meletakkan calon di kerusi Parlimen Hulu Langat dan Dun Dusun Tua, iaitu dua kerusi yang mereka pernah menang dan mereka mahu pertahankan. Para pengundi mereka di Dun Semenyih akan bertanya, siapa yang mereka perlu undi untuk kerusi Dun sekiranya Pas tidak meletakkan calon di situ.

Kalau nak suruh mereka undi BN, pasti ada yang tidak setuju. Kalau nak suruh undi PH pasti ada juga yang tidak setuju. Kalau nak suruh undi rosak, lagilah mereka tidak setuju.

Susah-susah balik mengundi, tak kan nak rosakkan undi. Akhirnya Pas terpaksa meleyakkan calon di Dun Semenyih untuk memastikan penyokong mereka di Dun Semenyih turut keluar mengundi untuk calon parlimen mereka.

Begitu juga yang berlaku di Dun Sungai Ramal. Pas pasti akan meletakkan calon untuk mempertahankan kerusi Dun Sungai Ramal. Tetapi, penyokong mereka di Dun Sungai Ramal akan bertanya, calon Parlimen nanti nak undi siapa? Dilema yang sama dihadapi seperti juga halnya dengan penyokong mereka di Dun Semenyih.

Akhirnya, Pas terpaksa meletakkan calon di kerusi Parlimen Bangi dan kemudian di Dun Kajang dan Dun Balakong juga. Inilah sebabnya kerusi yang bakal mereka tandingi sentiasa bertambah-tambah dari satu masa ke semasa. Rakan kerjasama politik mereka IKATAN pula seperti tidak berminat untuk bertanding. PCM hanya mahu bertanding di Pulau Pinang sahaja. Akhirnya, Pas terpaksa ‘tapau’ semua kerusi lain yang ada.

Fenomena ini berlaku dalam skala yang besar, menyebabkan Pas akhirnya mengumumkan angka bertanding 160 kerusi parlimen.

Saya jangka, kerusi Dun juga akan bertambah secara drastik. Untuk bertanding secara bermaruah di kerusi-kerusi sebanyak ini, Pas perlu menjadi sebuah parti yang kaya seperti Umno. Umno pun tidak bertanding sebanyak itu.

Ya. Dianggarkan Pas perlu menyediakan sekurang-nya RM50 juta hanya untuk bertanding di dalam PRU14 nanti.Dari mana datangnya duit sebanyak itu? Dan kalau betul mereka ada duit sebanyak itu … berbaloi kah?

Saya bertanya seorang veteran Pas yang banyak pengalaman dalam gerakerja pilihanraya soalan ini. Dia hanya menggeleng kepala. Ianya diluar jangkauan akal kami.

>> Komentar bebas Jazuri Ardani, Timbalan Ketua Biro Penerangan Pakatan Harapan I 18 April 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *