Undi Pas hanya beri talian hayat kepada nyawa Umno BN

Memberi undi kepada PAS samalah seperti memberi talian hayat kepada Umno dan Barisan Nasional.

PAS tidak berhajat untuk menyelamatkan negara sebaliknya bertindak untuk menjadi faktor pemecah undi secara tidak langsung menyelamatkan Umno dan Barisan Nasional.

Malaysia hari ini berdepan dengan masalah ekonomi yang kian meruncing di mana kadar keberhutangan negara semakin meningkat.

Setakat 31 Disember 2017, kerajaan merekodkan jumlah hutang negara berjumlah RM686 billion iaitu peningkatan hampir RM40 billion daripada RM648 billion yang direkodkan tahun sebelumnya (2016).

Tidak mustahil angka ini akan melepasi kadar 55 peratus KDNK jika negara masih diurus oleh pemimpin dari Barisan Nasional akan datang.

Kadar percukaian yang menekan rakyat seperti GST juga akan lebih mengheret rakyat kepada beban derita yang berpanjangan jika BN masih kekal di tampuk pemerintahan.

Sebaliknya Pakatan Harapan (HARAPAN) menawarkan dalam manifesto mereka untuk memansuhkan GST, mengekalkan bantuan tunai seperti BR1M dan bersedia untuk memperbaiki urus tadbir negara jika HARAPAN memerintah kelak.

Tak sedia jadi kerajaan

PAS dilihat tidak bersedia untuk menjadi sebuah kerajaan apabila mengistiharkan hanya bertanding 130 kerusi dan mensasarkan 40 kerusi untuk menang dari jumlah tersebut.

Sehari dua ini pendirian PAS berubah lagi apabila diura-urakan akan bertanding sebanyak 160 kerusi.

Pendirian PAS yang tidak konsisten ini cukup untuk memberikan penilaian bahawa PAS sebenarnya sedang berusaha menyelamatkan BN.

Gagasan Sejahtera juga dilihat sebagai gabungan pembangkang yang gagal apabila hanya didominasi PAS semata-mata.

Momokan untuk mempertahankan dasar Islam dan memperjuangkan agenda Islam hanyalah sebuah modal politik kempen pilihan raya.

Sebaliknya umum mengetahui bahawa PAS tidak bersedia untuk menjadi sebuah kerajaan sebaliknya berhasrat untuk menjadi “King Maker” atau pelengkap kepada sebuah kerajaan yang bakal dibentuk sama ada bersama PH mahupun BN.

Saya melihat hasrat PAS sebagai “king maker” ini tidak akan memberikan PAS kuasa untuk membuat keputusan sebagai sebuah kerajaan.

Sebaliknya PAS hanya berkuasa untuk berunding bagi membentuk sebuah kerajaan bersama gabungan lain.

Justeru saya menyeru rakyat Malaysia untuk tidak membazirkan kertas undi dengan memberikan undi kepada PAS kerana mengundi PAS akan menyambung talian hayat Umno dan Barisan Nasional.

Undilah Pakatan Harapan.

>> Komentar bebas SYED BADLI SHAH B. SYED OSMAN, Penolong Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Nasional I 18 April 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *