Khalid Samad mohon maaf atas kekurangan dan kelemahan, kata Khalid

SHAH ALAM: Penyandang kerusi Parlimen Shah Alam Khalid Samad memohon maaf terhadap semua pihak atas kekurangannya sepanjang dua penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat di situ.

“Saya mahu minta maaf atas apa-apa kekurangan. Mungkin ada isu yang saya tak sempat bawa ke parlimen, atau harapan mereka yang tidak dapat saya penuhi.

“Atas kelemahan dan kekurangan ini, saya minta maaf,” katanya pada sidang media di pejabat pusat khidmatnya di Shah Alam kelmarin.

Beliau berkata, permohonan maaf itu dibuat ekoran kemungkinan beliau tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi parlimen itu pada PRU ke-14.

Soal itu hanya akan muktamad sebaik selepas surat watikah diberikan kepada calon, katanya yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH.

Mula bertanding di pelbagai kawasan sejak pilihan raya sejak 1986, bekas pemimpin PAS itu akhirnya menjadi anggota parlimen selepas menewaskan Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin daripada Umno di Shah Alam pada PRU 2008.

Ketika itu beliau membuat kejutan dengan menewaskan bekas menteri itu dengan majoriti 9,314 undi.

Beliau mempertahankan kerusi itu pada PRU 2013 selepas menewaskan Datuk Zulkifli Noordin dengan peningkatan majoriti iaitu 10,939 undi.

Khalid juga menyuarakan keyakinan untuk mempertahankan kerusi itu jika dikekalkan pada PRU kali ini.

“Jika ditawarkan insyaAllah saya terima dan sanggup, dan jika tidak saya menyokong siapa sahaja yang terpilih sebagai calon di Shah Alam.

“Dalam keadaan politik sekarang kita tak boleh jamin sehingga hari penamaan calon, tetapi sekarang tiada pengumuman apa-apa. Saya sekadar ingin menyatakan terima kasih dan memohon maaf atas kekurangan (daripada dirinya),” katanya lagi.

Kawasan Parlimen Shah Alam mempunyai 99,957 pengundi dengan 69.93 peratus adalah Melayu, Cina (14.94 peratus), India (14.18 peratus) dan selebihnya kaum lain.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *