Bohong malaikat mengundi, kenyataan pemimpin Pas Kelantan disanggah

KUALA LUMPUR: Seorang pendakwah bebas menangkis kenyataan seorang pimpinan PAS berhubung dakwaan malaikat boleh mengundi jika Allah izinkan.

Pendakwah yang dikenali sebagai Abu Syafiq Al-Asy’ary itu berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Nor Azariza Mohd Alawi baru-baru ini sebagai mengarut dan pembohongan.

“Malaikat mengundi? Karut. Ada dua pembohongan, pembohongan kepada Allah dan pembohongan perihal malaikat.

“Dalam al-Quran Allah berfirman, malaikat hanya melakukan apa yang Allah perintah.

“Ada ke Allah perintahkan untuk malaikat ini ambil IC (kad pengenalan) kita, wakilkan kita pergi mengundi?

“Ada ke dalam al-Quran dan hadis? Macam mana kau tahu (malaikat boleh mengundi)? Kau tahu ilmu ghaib ke?” soalnya dalam satu kenyataan video di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Nor Azariza menempelak sesetengah musuh politik PAS yang beranggapan parti itu tidak mampu memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 selepas tidak lagi bekerjasama dengan parti lain.

Katanya, PAS meletakkan keyakinan bahawa Allah akan memberi kemenangan dalam mana-mana perjuangan menegakkan Islam.

Mengambil iktibar dalam peristiwa Perang Badar jelasnya, Allah membantu tentera Islam dengan menghantar malaikat berkuda dan bersenjata pedang untuk memerangi musuh.

“Allah kalau nak tolong kita, seribu cara dia boleh tolong walaupun (kita hanya) masuk pilihan raya, bukan berperang.

“Allah boleh tolong macam mana? Ambo (saya) nak buat contoh mudah. Kalau Perang Badar dulu Allah hantar malaikat bawa pedang, naik kuda pergi berperang bersama orang Islam.

“Habis lari tentera kafir walaupun mereka ramai, tentera Islam hanya 313 orang. Mereka lari sebab nampak tentera Islam yang ramai, ramai datang dari mana?

“Itulah malaikat Allah, Allah hantar nak bagi kegerunan kepada tentera kafir,” katanya ketika berceramah di Kampung Kemumin, di Kota Bharu, 9 April lalu.

Sementara itu Abu Syafiq berkata, sesiapa sahaja perlu berhati-hati dalam menggunakan perkataan ‘kalau’.

“Berhati-hati dengan ‘kalau’, kerana ‘kalau’ itu amalan syaitan.

“Malaikat tak buat amalan manusia yang ikhtiari, contohnya solat.

“Oh saya tak solat takpa malaikat solatkan, oh saya tak puasa tak apa malaikat puasakan. Mana boleh boleh begitu, ini pembohongan,” katanya.

Justeru beliau menyarankan agar Majlis Mufti Kebangsaan mengeluarkan fatwa berkaitan isu-isu pembohongan agama oleh golongan ahli politik.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *