Surat itu untuk Najib Razak, bukan ‘unit’ Kementah, kata Rafidah

KUALA LUMPUR: Bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata surat terbukanya dituju kepada perdana menteri, bukannya kepada Kementerian Pertahanan (Kementah), beberapa jam selepas kementerian itu menafikan dakwaan beribu hektar tanah milik tentera dipajakkan kepada sebuah syarikat swasta tanpa melalui tender terbuka.

“Maaflah, surat terbuka saya dialamatkan kepada Datuk Seri PM (Najib Razak), bukan Kementerian Pertahanan, apatah lagi sebuah ‘unit’, iaitu UKK Mindef,” katanya merujuk Unit Komunikasi Korporat Kementah dalam catatan Facebooknya hari ini.

Bekas ketua Wanita Umno itu yang kini menyokong bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pilihan raya umum ke-14 berkata, beliau hanya mahu mendengar jawapan Najib untuk menyangkal dakwaannya itu.

“Di mana kertas Kabinet yang meluluskan penswastaan itu untuk rakyat tahu dengan jelas tentangnya,” soalnya sambil menambah penjelasan lain daripada pegawai Kementah hanya mengenai prosedur dan proses melaksanakan projek itu.

Rafidah sebelum ini mendakwa Najib yang merupakan menteri pertahanan pada 2007 membentangkan kertas Kabinet berhubung penswastaan 40,000 hektar tanah milik tentera kepada 3 individu tanpa melalui tender terbuka.

“Saya bersaksi dengan Allah bahawa semua tanah Kementah telah diswastakan dengan pajakan 40 tahun kepada syarikat milik individu,” katanya dalam surat terbuka yang dimuat naik ke Facebooknya sebelum ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya “tidak benar dan dusta terang-terangan”.

Rafidah kemudian mempertahankan dakwaan itu.

Semalam, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Kementah, agensi pusat yang bertanggungjawab menyelaras projek penswastaan dan kerjasama awam-swasta menafikan dakwaan Rafidah mengenai pemindahan milik tanah kementerian itu kepada syarikat swasta.

Dalam kenyataannya, UKAS berkata, dakwaan itu tidak benar dan kementerian itu tertakluk kepada proses perbincangan, saringan dan kelulusan dalaman pelbagai peringkat sebelum ia diberikan perakuan oleh UKAS dan Jawatankuasa Tertinggi Awam-Swasta yang dipengerusikan ketua setiausaha negara.

Selain itu, ia menyebut tanah yang terlibat dengan kaedah pertukaran tanah atau “land swapping” hanya dilaksanakan selepas mendapat persetujuan semua cabang angkatan tentera, iaitu darat, laut dan udara.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *