Pakatan Harapan berusaha pastikan peratusan mengundi melebihi 85%

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) kini berusaha memastikan peratusan yang keluar mengundi pada 9 Mei nanti akan melebihi 85%, iaitu peratusan pada pilihan raya umum 2013, kerana percaya jumlah pengundi yang ramai akan memenangkan kempen menawan Putrajaya.

Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata pihaknya cukup yakin sasaran itu dapat dicapai sambil berkata semangat perubahan di kalangan rakyat sangat positif walaupun membuang undi jatuh pada hari kerja di pertengahan minggu.

“Saya masih lagi berharap bahawa peratusan keluar mengundi tinggi. Kalau boleh lebih 85%, maka peluang kita untuk menang itu lebih tinggi,” katanya kepada FMT.

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Rabu 9 Mei sebagai hari mengundi menerima kritikan hebat, dengan ramai berkata ia menyukarkan pengundi yang terpaksa melakukan perjalanan jauh di samping memohon cuti tambahan.

Mukhriz tidak menolak adanya “tangan ghaib” memberi arahan kepada SPR untuk memilih hari bekerja sebagai hari mengundi.

“Agaknyalah,” katanya.

“Kalau dilihat daripada pengalaman sebelum ini, bila kita adakan tarikh mengundi pada hari minggu, maka peratusan keluar mengundi tinggi. Jadi kalau begitu, mungkin baik BN meletakkan tarikh mengundi hari bekerja,” katanya.

Mukhriz berkata peratusan pengundi yang menurun akan memenangkan BN kerana “orang-orang muda yang bekerja di negeri atau luar negeri hadapi masalah untuk balik mengundi”.

Rakyat Kedah terima logo ‘mata’

Sementara itu, bekas menteri besar Kedah itu berkata langkah menggunakan logo PKR tidak menjadi masalah besar buat rakyat negeri itu kerana lambang itu sudah dikenali.

“Bukan soal kenal ke tak kenal, tapi dalam PH terlampau banyak logo. Bayangkan di kertas undi hitam putih, kalau kertas DUN ada logo dacing, bulan dan bunga, dan kertas Parlimen ada logo dacing, bulan dan Amanah, jadi orang tak nampak bahawa bunga dan Amanah satu pihak,” katanya.

“Bunga” merujuk logo bunga raya PPBM, yang diharamkan daripada bertanding ekoran arahan pembubaran sementara oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan minggu lalu.

“Jadi bila kita buat keputusan guna satu logo, ia memudahkan proses pemilihan. Sekarang ini kita giat promosikan logo PKR supaya orang kenal.

“Di Kedah, kami masih pakai baju merah PPBM dan PH, tapi lambang kita letak logo PKR, jadi orang boleh kaitkan PH ini dengan PKR,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *