Calon Pakatan Harapan diumum selepas 25 April kata Wan Azizah

PERMATANG PAUH: Calon-calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan diumumkan selepas mesyuarat kepimpinan pada 25 April ini di Kuala Lumpur.

Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata mesyuarat itu akan turut dihadiri semua calon yang akan bertanding pada PRU berkenaan, lapor Bernama.

“Saya masih meneliti ciri-ciri dan teknikaliti calon yang akan bertanding pada PRU14. Saya seorang yang sign (tandatangan) untuk semua calon-calon, jadi mereka harus hadir untuk mendengar taklimat pada 25 April nanti.

“Saya dan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad akan memberi amanat terakhir sebelum mereka diumumkan sebagai calon PRU14,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Kerajaan Negeri bersama Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Ditanya tentang keengganan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti Dr Norlela Ariffin untuk bertanding di Selangor, Wan Azizah berkata perkara itu belum diputuskan.

“Kami ada jawatankuasa saringan untuk menentukan siapa yang sesuai bertanding, kami belum menentukan lagi…tunggulah sampai mesyuarat pada 25 April nanti,” katanya.

Beliau juga berkata calon-calon PH tidak akan menjalani saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 April sebagai tarikh penamaan calon, 5 Mei untuk pengundian awal dan 9 Mei sebagai hari pengundian untuk PRU14.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *