Amanah ingatkan Pas tak perlu runsing bagaimana PH selesaikan Paya Jaras

SHAH ALAM: Amanah Selangor meminta PAS tidak perlu runsing bagaimana Pakatan Harapan menyelesaikan kerusi Dun Paya Jaras selepas wakil rakyatnya, Mohd Khairuddin Othman, melompat menyertai PKR.

Pengerusi Izham Hashim mengingatkan Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad bahawa isu calon layak bertanding DUN Paya Jaras isu dalaman yang akan diselesaikan Pakatan Harapan.

“Tidak bermakna kamu keluar PAS dan masuk PKR pada saat akhir melayakkan kamu bertanding mana-mana kerusi. Bukan begitu syaratnya. Syarat ialah calon terbaik dan kita akan lihat semua sudut,” katanya.

Beliau menjawab spekulasi Iskandar yang meramalkan penyertaan Khairuddin, seorang pemimpin PAS tempatan, ke dalam PKR akan menimbulkan konflik kerana Amanah tidak akan dapat meletakkan calon di Paya Jaras.

Izham berkata kerusi Paya Jaras akan diberikan kepada calon Amanah.

“Kalau PKR punya kerusi, PKR yang tentukan. Kalau kerusi Amanah, PKR boleh cadangkan calon tapi kami pertimbangkan. Itu persefahaman antara kita. Tak ada isu,” katanya.

Sementara itu, Khairuddin berkata perpecahan yang disebut Iskandar itu cuma spekulasi kerana keputusan mengenai pilihan raya dirundingkan oleh Pakatan Harapan, yang dianggotai PKR, Amanah, DAP dan PPBM.

“Penyertaan saya ini tertakluk kepada keputusan PH dan kita tidak sebut siapa yang bertanding di situ,” katanya.

Beliau juga menyerahkan soal pencalonannya kepada pimpinan PKR.

“Saya tidak ada masalah untuk menyambung perkhidmatan,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *