Aktivis Felda jangka BN tewas di 20 kerusi Felda seluruh negara

KUALA LUMPUR: Pembangkang dijangka memenangi sekurang-kurangnya 20 daripada 54 kerusi Parlimen dengan penempatan Felda pada pilihan raya umum ke-14.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman mendakwa 70% daripada generasi kedua dan ketiga Felda menunjukkan minat kepada pembangkang susulan pelbagai krisis yang dihadapi Felda sejak anak syarikat, Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) disenaraikan, lapor FMT.

“Pada 2013 bila FGV disenaraikan peneroka dapat RM15,000 seorang dan saya jangka pembangkang akan kalah kerana mereka merasakan penyenaraian FGV membawa kebaikan. Kini suasana berubah kerana pelbagai skandal dalam Felda berlaku, ditambah pula internet memudahkan maklumat.

“Anak-anak peneroka dari segi undi mencecah 70% selepas peneroka asal meninggal dunia. Kalau suasana ini betul-betul dibawa ke peti undi, saya anggap kali ini ada potensi perubahan,” katanya di taklimat mengenai Felda anjuran Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4).

Beliau akui BN masih mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan Felda, namun Mazlan percaya 20 kawasan di Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang boleh bertukar tangan

Ini termasuk Pagoh, Kulai, Tebrau, Simpang Renggam, Sekijang, Labis dan Segamat di Johor; Bera, Temerloh, Cameron Highlands, Bentong dan Lipis di Pahang; Tanjung Malim dan Sungai Siput di Perak; Kubang Pasu di Kedah; Alor Gajah di Melaka; dan Jempol di Negeri Sembilan.

Mazlan mendakwa “dedak” disalurkan kepada warga peneroka namun beliau percaya kesannya terhad kepada penerima sahaja.

“Kelmarin mereka mula terima ‘dedak’ RM5,000 seorang tetapi yang dapat itu peneroka. Peneroka juga dapat tanah 10 ekar, jadi mereka cukup terhutang budi kepada kerajaan. Fokus kita golongan 70% iaitu generasi kedua dan ketiga,” katanya.

Turut menyertai taklimat ini Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Penyelidik C4 Rahayu Mumazaini dan pakar ekonomi Prof Terrence Gomez.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *