Mahathir ingatkan Najib, tsunami Melayu akan tenggelam BN

KUALA LUMPUR: Parlimen belum terbubar secara rasmi namun semalam Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kepada BN.

Berucap di Pasir Gudang, Johor, Dr Mahathir bercakap mengenai tsunami Melayu yang diyakini ramai boleh berlaku pada PRU ke-14 nanti.

Dr Mahathir tidak mengulas lebih mendalam mengenai kemungkinan berlaku perubahan sokongan pengundi Melayu daripada BN kepada HARAPAN.

Sebaliknya beliau berkata ringkas: “Nantilah, nanti kamu lihat. Tsunami Melayu akan tengelamkan kamu (BN) buat selama-lamanya.”

Dengan andaian sebahagian besar undi masyarakat Cina kekal menyokong pembangkang, HARAPAN bergantung kepada peralihan sokongan besar-besaran orang Melayu bagi mengetepikan BN daripada kerajaan buat kali pertama dalam sejarah negara.

Pada PRU ke-10 dulu berlaku peralihan sokongan ketara pengundi Melayu kepada pembangkang, namun pada masa sama pengundi Cina kekal berpihak kepada BN.

Ia membawa sedikit kesan kepada pembangkang apabila Terengganu berjaya ditawan PAS. Bagaimanapun pada PRU selepas itu (2004) Terengganu kembali dirampas.

Johor kubu Umno

HARAPAN mempertaruhkan populariti dan pengaruh Dr Mahathir untuk menggerakkan sokongan orang Melayu kepada gabungan itu pada PRU yang akan datang.

Kata Dr Mahathir pada PRU ke-14 ini bukan saja akan berlaku tsunami Melayu, malah tsunami Cina dan tsunami India turut melanda Malaysia.

Majlis diadakan di kawasan Menteri Besar Johor Datuk Khaled Nordin petang tadi boleh dianggap pemanas buat Dr Mahathir sebelum beliau menghadiri majlis lebih besar pada malam ini.

Untuk rekod Johor adalah negeri yang signifikan kepada Umno kerana di situlah parti berkenaan dilahirkan berdekad-dekad lalu.

Dalam PRU sebelum ini Johor kekal menjadi kubu kuat buat Umno sehinggalah pembangkang melihat ada potensi keadaan itu berubah dengan wujudnya BERSATU.

Dr Mahathir adalah pengerusi BERSATU manakala bekas menteri besar Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi presiden parti berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan parlimen dibubarkan esok dan mengikut perlembagaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai masa 60 hari untuk mengadakan PRU.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *