Ada riak takut di wajah PM sewaktu umum akan bubar Parlimen, kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Detik itu tentu masih segar dalam ingatan Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun tempohnya bolehlah dianggap agak lama. Ia sudah berlalu 60 bulan silam.

Ketika itu – tarikh tepatnya 3 April 2013 – Muhyiddin berdiri dengan bersahaja di sisi kanan Datuk Seri Najib Razak.

Ia adalah simbol bahawa bekas menteri besar Johor itu benar-benar orang kanan perdana menteri.

Hari ini tempat Muhyiddin berdiri itu digantikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam kedua-dua detik itu Najib membuat pengisytiharan bahawa parlimen dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya umum (PRU) diadakan serentak di seluruh negara.

Cuma tidak seperti lima tahun lalu Muhyiddin melihat semacam ada “ketakutan” di wajah Najib.

“Saya tengok TV tadi, perdana menteri macam orang yang ketakutan,” katanya di satu majlis minum petang di Johor Bahru.

Acara itu diadakan bagi mengumpul dana untuk Pakatan Harapan mencabar BN dalam PRU ke-14 yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari mulai esok.

Menurut Muhyiddin, wajah Najib yang terpapar semasa siaran langsung pengumuman dinanti-nanti seluruh negara itu tidak begitu ceria.

“Muka macam orang penakut,” tambah Muhyiddin.

Muhyiddin adalah veteran Umno yang dilantik menjadi timbalan perdana menteri beberapa hari selepas Najib disahkan sebagai peneraju kerajaan pada 3 April 2009.

Dianggap Umno sebagai gandingan yang mantap Najib dan Muhyiddin adalah regu yang disenangi parti itu sehinggalah muncul skandal 1MDB.

Tak kira undi popular

Bermula dengan perselisihan faham secara tertutup krisis itu merebak dengan lebih meluas sehingga mengorbankan jawatan Muhyiddin – serta beberapa pemimpin kanan lain – dalam parti dan kerajaan.

Anak kelahiran Muar itu kemudian menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang kini dibubarkan sementara oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

Sebagai anak Johor HARAPAN bergantung kepada faktor Muhyiddin dan BERSATU untuk mencabar dominasi Umno yang selama ini bertapak kukuh di negeri berkenaan.

Tambah Muhyiddin kebimbangan yang terpancar di wajah Najib tengah hari ini menunjukkan presiden Umno itu goyah untuk menghadapi PRU ke-14 nanti.

“Dia bimbang sebab dia tahu apa akan berlaku. Dia tau BN akan tumbang, jadi dia bimbang,” katanya.

Sementara itu Muhyiddin juga menyatakan sekarang adalah masa paling tepat untuk pengundi melakukan perubahan politik dalam negara.

Pada masa sama anggota parlimen Pagoh itu berkata PRU akan datang bakal dicemari dengan amalan manipulasi kesan daripada persempadanan semula kawasan pilihan raya baru-baru ini.

Tambahan pula kata Muhyiddin amalan demokrasi di negara ini hanya mengambil kira pemenang yang menguasai kerusi di Dewan Rakyat dan bukan mengikut jumlah undi popular.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *