Tindakan ROS haramkan Bersatu tidak akan halang gelombang rakyat

KUALA LUMPUR: Langkah Pendaftar Pertubuhan (ROS) memerintahkan pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan dapat menghentikan ‘gelombang rakyat’, kata ketua pemudanya, Syed Saddiq Abdul Rahman.

“Parti kita hanya kenderaan bagi kegunaan rakyat. Haramkan satu, kita bangkit dengan lagi satu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Keputusan pembubaran sementara parti itu dibuat sehari sebelum parlimen dijangka dibubarkan esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“(Datuk Seri) Najib Razak boleh mengharamkan parti kami di minit yang terakhir sebelum parlimen dibubarkan, but that will not stop the “Gelombang Rakyat”,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Strategi dan Dasar BERSATU, Rais Hussin berkata parti itu bersedia dibatalkan pendaftaran.

“Kami mempunyai rancangan khusus kami sendiri. Keprihatinan rakyat akan terus meningkat,” katanya.

Timbalannya Wan Saiful Wan Jan (foto) pula mengecam arahan pembubaran sementara itu sebagai “salahguna kuasa”.

“Umno jelas ketakutan dan mereka melakukan segala yang dapat mereka lakukan untuk menghentikan kebangkitan BERSATU. Kami akan terus memerangi rejim yang keji ini.

“Tindakan ini memberikan bukti yang lebih kuat bahawa mereka mesti dinyahkan jika kita mahu membawa integriti dalam institusi kita,” katanya.

Kelmarin, ROS mengesahkan perintah pembubaran sementara selepas BERSATU dikatakan gagal membekalkan pertubuhan itu dengan dokumen dan maklumat yang diperlukan.

BERSATU bagaimanapun mendakwa parti itu telah menyerahkan semua dokumen berkaitan yang diminta oleh ROS sebelum akhir bulan Mac.

Malah, dokumen tambahan dihantar oleh Setiausaha Penganjur BERSATU Kapten (B), Muhamad Suhaimi Yahya pada 29 Mac.

ROS berkata pembatalan pendaftaran BERSATU akan kekal dalam masa 30 hari jika parti itu gagal mematuhi syarat ditetapkan atau tidak membuat rayuan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *