Semua calon Pakatan Harapan dijangka guna logo PKR, bubar Bersatu tidak beri kesan

Tahniah diucapkan kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan atau RoS kerana membubarkan pendaftaran Bersatu menjelang dua hari BN melancarkan manifeso pilihanrayanya serta di saat-saat Najib Razak sedang berkira-kira hari untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU 14 diadakan.

Manifesto BN akan dilancarkan di Stadium Bukit Jalil pada Sabtu 7 April ini, manakala pembubaran Parlimen dijangka sebelum pembentangan manifesto atau satu dua minggu selepas itu.

Dalam waktu yang sama, tarikh pembubaran Bersatu yang diumumkan hari ini juga adalah serentak dengan hari terakhir sidang Parlimen yang merupakan penggal terakhirnya sejak pilihanraya 2013 yang lalu.

Dengan yang demikian, terlihatlah di mata rakyat bahawa RoS ini tidak lebih merupakan “perkakas” atau mirip “komponen” terbaru BN untuk membantu Najib mengekalkan kuasanya.

Seperti yang disebut dalam beberapa artikel sebelum ini, pembubaran Bersatu ini tidaklah memeranjatkan, malah sudah boleh dijangkakan.

Namun, harus diingat bahawa RoS hanya boleh membubarkan pendaftaran Bersatu, tetapi ia tidak mungkin mampu membubarkan perasaan rakyat yang sedang meluap-luap untuk menyingkirkan Najib, UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.

Malah, pembubaran ini sebenarnya merupakan berita baik, khabar gembira dan rahmat tersembunyi, bukan saja kepada Bersatu dan Pakatan Harapan, tetapi juga rakyat yang dahagakan perubahan.

Perasaan rakyat dengan ini akan terus membuak-buak marah lagi benci kepada Najib, UMNO dan BN serta dalam masa yang sama terasa simpati yang amat sangat kepada Bersatu dan Pakatan Harapan.

Di mana-mana dunia yang berlaku perubahan politik, asasnya mestilah benci dan simpati yang kian menggunung di hati rakyat.

Lebih daripada itu, jika RoS merasakan tindakan membubarkan Bersatu ini akan melemahkan parti itu menjelang PRU 14 akan datang, ternyata perkiraan mereka adalah silap, malah 100 peratus silap.

Bersatu bukan saja tidak mungkin lemah, jauh sekali mengalah, bahkan dengan perkembangan ini akan menaikkan lagi semangat parti itu bersama Pakatan Harapan dalam perjuangannya untuk menumbangkan Najib, UMNO dan BN yang telah menukar negara ini daripada demokrasi kepada kleptokrasi.

Dalam waktu yang sama, segala gerak-geri dan langkah RoS sebenarnya sudah pun dapat dibaca lebih awal oleh Tun Mahathir. Pembubaran Bersatu dan tidak mungkinnya Pakatan Harapan diluluskan boleh dikata sudah lama ada dalam pemikiran Pengerusi Pakatan Harapan itu.

Sebab itu, selain soal pembahagian kerusi yang berjaya diselesaikannya lebih awal, Tun Mahathir juga turut berjaya mendapatkan persetujuan PKR, DAP, Amanah dan Bersatu sendiri agar menggunakan satu logo tunggal untuk semua calon Pakatan Harapan.

Penggunaan logo tunggal yang dipilih di antara PKR, DAP, Amanah dan Bersatu itu, meskipun diwar-warkan untuk memudahkan rakyat membuat pilihan dan agar tidak timbul kekeliruan, tujuan lainnya ialah sebagai persediaan sekiranya Bersatu dibubarkan dan pendaftaran Pakatan Harapan tidak diluluskan.

Adalah dijangkakan malam esok di Johor Bharu, akan diumumkan bahawa semua calon Pakatan Harapan akan mengguna atau meminjam logo PKR bagi menentang BN dalam PRU 14 kali ini.

Peminjaman logo ini adalah untuk sementara waktu bagi menghadapi pilihanraya saja dan selepas itu, lebih-lebih setelah menang dan menguasai Putrajaya, semua calon akan kembali semua kepada parti masing-masing.

Jika sebelum ini, BN termasuk RoS mungkin menjangkakan, oleh kerana Pakatan Harapan tidak diluluskan dan semua parti dalam gabungan itu akan menggunakan logo masing-masing, maka dengan pembubaran Bersatu, ia mungkin melemahkan dan menimbulkan masalah kepada parti itu.

Tetapi, dengan persetujuan semua parti terhadap penggunaan logo PKR itu, pembubaran Bersatu yang diumumkan RoS hari ini sudah tidak memberi kesan apa-apa lagi. Bersatu tidak terkesan, Pakatan Harapan juga tidak terbeban.

Perjuangan untuk menyingkirkan Najib akan jelan terus dan tiada apa-apa yang terganggu kerana logo yang akan digunakan nanti ialah logo PKR.

Yang lebih menarik, DAP juga sedia berkorban dengan tidak menggunakan logo parti itu dalam pilihanraya kali ini, tetapi sama-sama menggunakan logo PKR bagi memastikan kesepakatan dan penggunaan simbol yang satu untuk menentang BN menjadi kenyataan.

Sebaliknya, tindakan RoS ini akan menambah-bangkitkan lagi perasaan benci rakyat kepada Najib, UMNO dan BN serta dalam masa yang sama mencambahkan lebih banyak rasa simpati kepada Tun Mahathir, Bersatu dan Pakatan Harapan.

Sekali lagi tahniah dan terima kasih kepada RoS kerana tindakan mereka ini nyata mempermudahkan lagi “tercabutnya nyawa” Najib, UMNO dan BN daripada kuasa di Putrajaya yang dipegang selama ini.

>> Komentar bebas Shahbudin Husin, penganalisa isu semasa I 06 April 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *