JPPM langgar akta, Bersatu berfungsi seperti biasa, kata Mahathir

KUALA LUMPUR: Bersatu mendakwa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) melanggar Akta Pertubuhan dalam mengeluarkan perintah pembubaran sementara dan menganggap parti masih berfungsi untuk menjalankan sebarang aktiviti.

Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad berkata antara sebabnya ialah perintah pembubaran sementara tidak disampaikan dengan sempurna dan oleh itu ia boleh dianggap tidak sah, lapor FMT.

Beliau memetik Seksyen 62 Akta Pertubuhan 1966 yang memerlukan perintah seperti itu disampaikan kepada 4 pemegang jawatan di alamat berdaftar pertubuhan.

“Sehingga kini kami pemegang jawatan Bersatu iaitu saya pengerusi, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, setiausaha agung dan bendahari tidak pernah disampaikan dengan apa-apa notis perintah sementara pembubaran,” katanya di Ibu Pejabat Bersatu di Yayasan Selangor malam tadi.

Bekas perdana menteri itu juga mempertikaikan penularan perintah JPPM kepada orang ramai sebelum pertubuhan terkesan menerima notis.

“Ini tidak sepatutnya berlaku jika JPPM bersikap profesional dan telus,” katanya.

Mengikut tafsiran Bersatu, Dr Mahathir berkata halangan aktiviti yang dikenakan ke atas Bersatu hanya terpakai apabila pendaftaran pertubuhan terbatal secara mutlak.

Memandangkan Bersatu hanya dikenakan perintah sementara, maka parti itu akan meneruskan aktiviti seperti biasa.

“Jika JPPM nak ambil tindakan dan tangkap saya kita protes. Rakyat pun akan protes,” tambahnya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata Bersatu akan menggunakan peluang rayuan yang dibenarkan undang-undang untuk merayu perintah pembatalan sementara itu kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Bersatu akan lakukannya dalam masa terdekat,” katanya.

JPPM semalam mengarahkan pembubaran sementara PPBM selepas parti itu gagal membekalkan dokumen di dalam tempoh masa yang diberikan sebelum ini.

Dokumen itu ada kaitan dengan notis JPPM mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan, yang merujuk minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti.

Ia susulan aduan ahli parti itu mengenai perhimpunan agung tahunan (AGM) pertamanya pada akhir Disember lalu.

Perkembangan ini timbul di tengah-tengah spekulasi mengatakan Parlimen akan dibubarkan esok bagi membuka laluan kepada pilihan raya umum ke-14.

Ketua Pengarah JPPM Surayati Ibrahim berkata Bersatu diberi tempoh 30 hari untuk menyerahkan butiran maklumat dan dokumen yang diperlukan dalam siasatan ke atas aduan yang diterima, dan sekiranya gagal berbuat demikian, pendaftaran parti itu akan dibatalkan secara mutlak.

Isu berkaitan pendaftaran Bersatu menjadi penghalang kepada pendaftaran Pakatan Harapan sebagai gabungan rasmi, bersama PKR, DAP dan Amanah.

Gabungan ini mahu bertanding pilihan raya bawah satu lambang untuk melawan Barisan Nasional (BN).

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *