Iran beri amaran selepas Saudi mula berbaik dengan Israel

BEIRUT: Apa-apa langkah rundingan dengan Israel akan menjadi satu “kesilapan yang tidak akan dimaafkan”, kata pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, selepas putera mahkota Arab Saudi berkata Israel turut berhak terhadap tanahnya, lapor Reuters.

Arab Saudi, yang menempatkan kota suci Mekah, tidak mengiktiraf Israel secara rasmi, tetapi kenyataan Putera Mahkotanya, Mohammed bin Salman, yang dipetik majalah Amerika Syarikat (AS), Atlantic, merupakan petanda hubungan diplomatik kedua-dua mereka akan terjalin.

Hubungan itu terjalin di saat Arab Saudi terlibat dalam perebutan kuasa serantau menentang Iran yang bermazhab Syiah.

Tehran dan Riyadh saling bertentangan mengenai konflik di Yaman dan Syria serta membantu kumpulan politik di Iraq dan Lubnan.

“Gerakan ke arah rundingan dengan rejim menipu, berbohong dan menindas (Israel) adalah kesilapan besar, tidak boleh dimaafkan yang akan menghalang kemenangan rakyat Palestin,” kata Khamenei di laman web rasminya, walaupun tidak menamakan Arab Saudi dengan jelas.

Khamenei berkata adalah menjadi tanggungjawab umat Islam menyokong Palestin menentang percubaan itu, dan berjanji Iran akan terus menyokong kumpulan Palestin, Hamas.

Kenyataan Mohammed itu bagaimanapun disusuli bapanya Raja Salman yang menegaskan sokongan Arab Saudi terhadap negara Palestin.

Riyadh berpandangan mengekalkan hubungan normal dengan Israel akan hanya berlaku selepas Israel berundur dari wilayah Arab yang dirampas semasa perang Timur Tengah pada 1967, iaitu wilayah untuk dijadikan sebagai negara Palestin yang merdeka.

Bagaimanapun, Arab Saudi membuka ruang udaranya untuk penerbangan komersil ke Israel bulan lepas, dalam apa yang disifatkan seorang pegawai Israel sebagai hari bersejarah selepas usaha selama 2 tahun.

November lalu, seorang ahli kabinet Israel mendedahkan hubungan rahsia dengan Arab Saudi, pengakuan yang jarang dibuat mengenai urusan rahsia yang sudah lama berlangsung tetapi dinafikan Riyadh.

Khamenei mengeluarkan kenyataan pada Rabu sebagai balasan kepada surat yang diterima daripada pemimpin Hamas, Ismail Haniya baru-baru ini, yang mengkritik sokongan kerajaan Arab terhadap AS di rantau itu.

Hamas, yang berikrar untuk memusnahkan Israel, mendominasi sebahagian kecil pesisir pantai Gaza, di mana minggu ini sekurang-kurangnya 17 rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Israel.

Dalam kenyataannya, Khamenei menyeru rakyat negara Islam mengalahkan Israel.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *