Pusingan akhir menjelang PRU, BN nampak lebih bersedia tapi PH juga ada strategi

Dalam seminggu lalu, isu besar politik ialah persempadanan semula kawasan pilihan raya yang umumnya menunjukkan bahawa ia menguntungkan Barisan Nasional (BN) dan merugikan Pakatan Harapan (PH).

Untuk sampai pada kesimpulan ini, penelitian boleh dibuat terhadap kawasan baharu yang mengambil kira peti undi yang sebelum ini diketahui menyebelahi BN atau PH. Ada pihak mengesyaki perubahan persempadanan ini akan membawa kepada BN, bukan saja mempertahankan kawasannya tetapi memperolehi kerusi baharu.

Contoh paling jelas adalah di Selangor. Untuk memastikan kesimpulan ini, penelitian wajar dibuat oleh para penganalisis dan strategis khususnya di kalangan PH yang merasakan dirugikan dengan persempadanan semula. Ia adalah kunci bagi apa yang perlu dilakukan oleh PH untuk menang.

Bagi BN, mereka hanya memerlukan pelaksanaan kesemua rancangan yang digubal untuk menghadapi pilihan raya umum ini.

Tetapi umumnya persepsinya ialah tindakan segera oleh kerajaan membawa persempadanan semula supaya diluluskan pada minggu-minggu atau hari-hari akhir menjelang pembubaran Parlimen menunjukkan BN akan meraih keuntungan daripada proses itu.

Dari segi tempoh masa pula, BN sebagai parti kerajaan yang mempunyai akses pada maklumat sudah tentu lebih bersedia untuk merancang kawasan baharu yang diwujudkan melalui persempadanan semula itu. Sedangkan PH akan berasa kesuntukan masa untuk membuat persediaan itu.

Sememangnya dalam semangat demokrasi tulen adalah diharapkan semua institusi yang berkait dengan politik kepartian termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) melakukan sesuatu proses atas asas tidak memihak pada sesiapa.

Tetapi dalam politik realiti, persepsinya ialah mereka juga tidak terlepas dari pengaruh parti politik yang berkuasa.

Lebih-lebih lagi di Malaysia apabila secara konsisten, pihak politik yang mempunyai kuasa sejak Malaya mencapai kemerdekaan dan membawa kepada penubuhan Malaysia, serta mengubah haluan dengan terkeluarnya Singapura terus menang pilihan raya, sama ada sebagai Perikatan dan kemudiannya BN. Walaupun organisasi utama dalam penguasaan politik ini adalah Umno yang pernah berubah menjadi Umno Baru dan kemudian kembali dikenali sebagai Umno saja.

Maka pengaruh besar pihak politik ini, walaupun berubah pimpinan, malah ada antara tokohnya yang akhirnya menentang parti berkenaan terus melakukan pelbagai cara untuk mempertahankan keunggulannya dalam pilihan raya umum.

Sungguhpun banyak cara mereka itu tidak menepati semangat demokrasi tulen. Paling ketara ialah kebebasan akhbar. Begitu juga dahulu ketika adanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sikap pihak politik berkuasa terhadap semangat demokrasi sebenar tetap tidak berubah.

Selain daripada persempadanan semula, usaha untuk menguatkuasakan Akta Anti Berita Palsu adalah pada persepsinya merupakan sebahagian daripada proses untuk memberi kemenangan kepada BN. Dengan akta itu adalah sukar untuk pembangkang menimbulkan spekulasi atau menimbulkan keraguan rakyat terhadap sesuatu perkara.

Sedangkan ketelusan sepenuhnya tidak wujud hingga menyebabkan pihak pembangkang terdedah pada dakwaan. Sedangkan merekalah yang banyak perlu mempersoalkan parti yang menjadi kerajaan.

Parti yang mempertahankan kedudukannya tidak perlu mempersoalkan pembangkang. Mereka hanya perlu mempertahankan diri yang boleh dilakukan dengan menyembunyikan maklumat dengan perlindungan daripada Akta Anti Berita Palsu.

Dengan dua undang-undang ini, yang diluluskan secara segera menjelang pilihan raya umum, adalah jelas BN mampu mempertahankan kedudukannya. Di samping tindakan kerajaan menafikan pendaftaran PH beserta penggunaan satu lambang, maka pembangkang sudah hilang banyak kelebihan.

Selain itu sejak beberapa minggu ini kerajaan mengumumkan pelbagai pemberian kewangan dalam beraneka bentuk kepada banyak lapisan masyarakat. Pemberian itu bukanlah dari BN tetapi dari kerajaan yang dipimpin oleh parti itu.

Dana itu adalah wang kerajaan dari kutipan pelbagai sumber rakyat seperti cukai. Cuma agihan itu diluluskan oleh pemimpin kerajaan dari BN. Persepsi yang diberikan adalah wang itu merupakan pemberian BN.

‘Feel good’

Pelbagai lapisan masyarakat diakses oleh BN melalui perhimpunan dan pengumuman. Bukan saja veteran tentera tetapi juga pesilat.

BN menuntut kesetiaan dan undi terima kasih. Antara lapisan masyarakat yang turut memperoleh pemberian wang pula adalah dari kalangan petani dan nelayan. Begitu juga anggota polis dan kakitangan kerajaan. Ada yang dalam bentuk elaun. Perhimpunan dibuat dan pemimpin utama kerajaan memngumumkan pemberian itu.

Dalam satu acara disebut, separuh daripada pemberian akan disampaikan sekarang, sementara separuh lagi diberikan selepas pilihan raya. Seolah-olah mesej yang hendak disampaikan ialah undilah BN bagi membolehkan mereka menerima yang separuh lagi.

Konsep faktor “feel good” (rasa senang) yang sering dilakukan oleh parti-parti bertahan di seluruh dunia menjelang pilihan raya sedang dilaksanakan oleh BN. Kalau boleh berasa senang sekarang, mengapa perlu menukar kerajaan.

Askar Melayu

Di atas segala usaha meyakinkan rakyat itu adalah penyebaraan rasa curiga dan takut dengan berasaskan pada sentimen agama dan kaum. Contoh paling nyata ialah ingatan pemimpin BN bahawa jika DAP berkuasa maka parti itu akan membubarkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Asas yang dibuat terhadap jangkaan ini ialah gagasan “Malaysian Malaysia” yang dipegang DAP, iaitu pada prinsipnya ideologi parti itu ialah supaya warganegara hendaklah setaraf serta tiada istimewanya.

Maknanya rejimen tentera hendaklah berbentuk pelbagai kaum sedangkan RAMD hanya dianggotai oleh orang Melayu.

Keprihatinan terhadap isu ini adalah besar hingga memaksa pemimpin DAP, Lim Kit Siang menjanjikan bahawa jika PH menang, mereka akan mengekalkan RAMD seperti mana juga sekolah bahasa pengantar Cina dan Tamil tetap dipertahankan.

Maknanya, kalaulah Malaysia ini ditadbir dengan tidak mengambil kira faktor sejarah kaum yang unik, maka sepatutnya hanya terdapat satu jenis sekolah kebangsaan iaitu dalam bahasa pengantar Melayu.

Tetapi realitinya Malaysia mempunyai sejarah yang perlu memelihara kepentingan sensitiviti setiap kaum. Maka sesiapa pun yang memerintah Malaysia, mereka perlu mempertahankan institusi-institusi seperti RAMD dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

DAP sendiri pun sudah tidak menguar-uarkan konsep Malaysian Malaysia. Parti itu telah berubah walaupun Kit Siang masih menjadi pemimpin utamanya.

Maknanya DAP 2018 tidak serupa dengan DAP 1969, apatah lagi dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang merupakan pengasas gagasan Malaysian Malaysia.

Lagipun jika Pakatan Harapan menang, kerusi yang diperolehi DAP adalah jauh lebih kecil berbanding dengan PKR dan PPBM. Namun dalam keadaan terdesak dan kritikal, sentimen kaum dan agama akan dipermainkan serta dipertajamkan. Ini kerana kelemahan manusia terletak pada sensitiviti agama dan kaum, melangkaui pertimbangan rasional dan kesaksamaan sesama manusia tanpa mengira kaum dan agama.

Sungguhpun kelebihan adalah pada BN, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap menyifatkan peluang pihaknya mengatasi lawannya adalah 50-50. Walaupun ceramah beliau mendapat sambutan dengan kehadiran ramai orang.

Bagi penulis, walaupun pilihan raya umum kali ini amat luar biasa dari segi sokongan terhadap pembangkang tetapi BN tetap dapat mempertahankan kekuasaannya. Ini kerana antaranya adalah kelemahan pembangkang yang tidak bersatu dengan PAS yang berperanan menggagalkan harapan PH.

Walaupun Dr Mahathir memberikan kepimpinan yang baik tetapi tiada tokoh segar yang dapat memberikan inspirasi pada pengundi. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak beraksi semakin luntur popularitinya.

Cuma, Malaysia tetap sedang berada pada detik-detik ambang perubahan walaupun BN mengekalkan kedudukannya. Perubahan tetap akan berlaku dengan cara lain, tidak semestinya dalam pilihan raya ini.

>> Komentar bebas Zin Mahmud, bekas pengarang kanan Utusan Malaysia I 4 April 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *