Hampir 35,000 hilang pekerjaan pada 2017, kata Kementerian Sumber Manusia

KUALA LUMPUR: Hampir 35,000 rakyat kehilangan pekerjaan tahun lepas, sementara 1,065 lagi dibuang kerja pada Januari tahun ini, menurut Kementerian Sumber Manusia.

Sektor pembuatan paling banyak menyaksikan pengurangan tenaga kerja iaitu sebanyak 25,370 pekerja pada 2017, diikuti sektor perkhidmatan (1,476), runcit (1,275) dan kewangan (1,210), katanya dalam jawapan bertulis kepada V Sivakumar Naidu (DAP-Batu Gajah) di Dewan Rakyat hari ini.

Sivakumar bertanyakan jumlah pekerja yang hilang pekerjaan tahun lepas, sektor mereka dan langkah yang diambil untuk mengurangkan pengangguran.

Kementerian berkata ia menubuhkan pusat operasi seluruh negara untuk mengawasi situasi itu dan memastikan hak pekerja tidak diabaikan.

Pusat-pusat tersebut beroperasi secara bersama melibatkan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Kementerian juga berkata pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan JobFair@UTC bagi membantu mereka yang kehilangan kerja akibat pengurangan tenaga kerja.

Majikan juga diingatkan untuk menyumbang kepada Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang diperkenalkan pada Februari sebagai jaringan keselamatan sosial yang membolehkan mereka yang kehilangan kerja memperoleh bantuan kewangan sementara.

Kementerian berkata sumbangan harus dibuat sebelum atau pada 15 hari bulan setiap bulan bagi mengelakkan denda bayaran lambat yang dikenakan ke atas majikan.

Semua pekerja 18 hingga 60 tahun perlu menyumbang 0.2% daripada gaji bulanan dengan sumbangan sama daripada majikan, tambahnya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *