Laksana tanggungjawab dalam tentukan Malaysia tidak musnah ditangan Najib

Umum sedia mengetahui prinsip Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyandang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun. Kaum keluarga, khususnya anak-anak beliau tidak boleh terlibat dalam politik, pegang sebarang jawatan Kerajaan, mahupun mendapat kontrak Kerajaan.

Apabila ditanya mengapa begitu tegas sekali pendiriannya itu, Tun Mahathir menjelaskan bahawa ia adalah untuk mengelak dari berlaku konflik kepentingan antara keluarganya dan Rakyat.

Jika sebagai Perdana Menteri beliau terpaksa memilih antara kedua-dua kepentingan itu, sudah tentu beliau akan memilih untuk mengutamakan kepentingan Rakyat.

Maka apa akan jadi kepada keluarganya? Untuk mengelak dari situasi itu timbul sama sekali, maka ahli-ahli keluarga ditegah dari terlibat dengan ketiga-tiga perkara tersebut di atas.

Begitulah prinsip yang dipegang kuat oleh Tun Mahathir sewaktu menerajui negara.

Sudah menjadi sikap manusia (yang mungkin nipis imannya) akan luntur semangat juang jika kaum keluarganya terancam akibat dari perjuangannya itu.
Kalaupun seseorang itu bersemangat untuk melawan kebathilan, semangat itu mungkin akan menjadi lemah jika pihak yang dilawannya itu mengugut untuk melakukan sesuatu terhadap anak-anak si-pejuang. Begitulah naluri manusia; jika kepentingan keluarga terancam, yang hak juga boleh dikorban.

Dalam konteks zaman sekarang, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan konco-konco mereka terpalit dengan skandal yang memberi kesan yang teramat buruk kepada negara.

Saya dimaklumkan bahawa terdapat beberapa tokoh politik dan pegawai tinggi Kerajaan (yang masih berkhidmat dan juga yang telah bersara) yang sanggup tampil ke hadapan untuk membongkar penyelewengan yang dilakukan oleh pihak Najib.

Namun apabila menerima ugutan bahawa kepentingan anak-anak mereka yang mungkin berniaga atau bekerja dengan Kerajaan akan terjejas teruk akibat tindakan menentang Najib, maka mereka pun patah semangat dan membatalkan hasrat itu.

Ada yang diugut akan dibatalkan kontrak, dituntut bayaran cukai pendapatan tambahan, dipindah tempat perkhidmatan ke negeri-negeri yang jauh dari keluarga, dan macam-macam lagi.

Itulah antara ancaman yang menyebabkan tokoh-tokoh tersebut menarik diri dari barisan hadapan dalam perjuangan bagi menegakkan keadilan. Begitulah sikap manusia yang walaupun memahami kemelut yang negara sedang hadapi, namun tidak sanggup untuk ​ketepikan kepentingan keluarga demi kepentingan negara.
Kita doakan agar Allah SWT memberi keberanian kepada mereka untuk menegakkan kebenaran.

Namun, bagi Tun Dr Mahathir Mohamad, tiada perkara yang lebih penting dari kesejahteraan negara. Legasinya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, sanjungan di kalangan Rakyat terhadap kejayaannya memimpin negara, malah kedudukan saya sendiri sebagai Menteri Besar Kedah; kesemuanya sanggup dikorbankan semata-mata untuk negara.

Walaupun jelas beliau pada awalnya tidak bersetuju dengan beberapa keputusan Najib Razak, dan kemudiannya terus menolak kepimpinan Najib apabila bukti-bukti penyelewengan mulai terdedah, tidak sekalipun beliau beri pertimbangan kepada kepentingan keluarga mengatasi kepentingan negara. Ini termasuk kemungkinan saya kehilangan jawatan sebagai Menteri Besar.

Kalau biasanya seorang Ayah akan terkesan juga jika tindak-tanduk dirinya akan menjejas kepentingan kaum keluarga walaupun dia berada di pihak yang benar sekalipun, bagi Tun Mahathir pegangan kepada kebenaran itu mengatasi segalanya.

Kalaupun ada sesiapa yang “menasihati” Tun Mahathir untuk menghentikan kritikannya terhadap Najib demi jawatan saya sebagai Meteri Besar, “nasihat” itu langsung tidak diendahkannya.

Walaupun begitu, mungkin atas sebab saya sendiri juga dibesarkan dengan prinsip-prinsip hidup yang sama, maka saya langsung tidak terkejut, jauh sekali kecewa dengan pendirian Ayahanda Tun.

Malah saya juga mengambil pendirian tidak bimbang akan risiko kehilangan jawatan tertinggi di Negeri Kedah demi kebenaran dan kesejahteraan Rakyat.
Maka apabila saya dipaksa melepaskan jawatan Menteri Besar, saya lakukan tanpa ragu-ragu kerana saya juga berpegang kepada hakikat bahawa jawatan di dunia ini hanya sementara. Allah SWT boleh mengangkat kita ke satu darjat yang tinggi, Allah jua boleh menurunkan kita pada bila-bila masa.

Rakyat tentunya faham bahawa Najib akan cuba lakukan apajua untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Skandal demi skandal yang melibatkannya cuba ditutup dengan habuan bersiri yang ditaburkan kepada Rakyat bagi mengaburi penglihatan mereka.

Sepertimana tentunya Tun Mahathir percaya, saya juga sangat percaya bahawa Rakyat tidak akan terpedaya dengan taktik kotor Najib itu.

Di sebalik setiap cabaran yang negara terpaksa harungi ketika ini, wujud suatu keyakinan bahawa Rakyat akan membuat keputusan yang murni walaupun ditawar pelbagai habuan oleh Kerajaan Najib.

Kepercayaan bahawa Rakyat juga seperti Tun Mahathir berazam untuk menjejaki kemurnian demi negara yang sama-sama kita cintai ini mendorong Tun untuk ketepikan perkara-perkara lain yang boleh mengalih perhatian dari perjuangan murni ini.

Setentunya Malaysia mempunyai potensi yang sangat baik untuk menjadi negara yang memberikan kesejahteraan hakiki kepada seluruh warganya. Walaupun Najib sudah menghancurkan segala kemajuan yang telah dicapai oleh negara sebelum kepimpinannya, namun negara masih boleh diselamatkan dari terjerumus kedalam kancah rasuah dan kegagalan.

Yang diperlukan ialah suatu kesedaran yang tinggi di kalangan Rakyat bahawa perubahan drastik perlu dilakukan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 yang bakal berlangsung nanti.

Hanya dengan memenangkan Pakatan Harapan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Parti Warisan Sabah boleh kita saksikan Malaysia benar-benar mencapai kemurnian yang diidam-idamkan, in shaa Allah.

Sempena Pilihanraya Umum yang bakal menjelang, saya mendoakan seluruh Rakyat Malaysia akan berjaya menjejaki kemurnian agar masa depan anak cucu kita kembali terjamin.

Kepada seluruh warga pengundi, saya ucapkan selamat melaksanakan tanggungjawab dalam menentukan Malaysia terselamat dari kehancuran sekiranya rasuah dan penyelewengan terus menjadi budaya akibat contoh buruk yang ditunjukkan oleh Najib. Sama-samalah kita berjuang untuk menjejaki kemurnian demi negara tercinta ini.

>> Komentar bebas Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden PPBM I 2 April 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *