Akta Antiberita Palsu serangan besar-besaran Najib terhadap pembangkang

Matlamat undang-undang antiberita tidak benar adalah jelas – untuk menyemai ketakutan di kalangan rakyat sehingga patuh dan tidak mempersoalkan apa-apa. Kepada mereka yang menggunakan media sosial (hampir semua orang), ini adalah ibu kepada undang-undang – shock and awe versi Datuk Seri Najib Razak.

Bukan kami tidak mengambil berat tentang berita palsu. Malah sebaliknya. Tetapi ada cara yang lebih baik untuk menanganinya. Kami ada menjelaskannya di KiniGuide.

Benar, beberapa negara lain turut menimbang undang-undang sama. Tetapi mereka tiada rangkaian senjata perundangan seperti yang dimiliki kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan kepada mereka yang didakwa menyebarkan berita palsu.

Dengan mengambil kira dakwaan terpilih dan badan kehakiman yang boleh dipengaruhi, kita tahu masalah yang bakal dihadapi dengan undang-undang baru ini.

Misalnya, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebelum ini digunakan terhadap aktivis, wartawan, pembangkang dan kartunis.

Ia digunakan terhadap saya dan pengasas bersama Malaysiakini Premesh Chandran kerana menyiarkan video yang mengkritik peguam negara ekoran caranya mengendalikan kes 1MDB.

Kami bebas selepas diikat jamin. Jika disabit bersalah, kami berdepan hukuman penjara setahun.

Sememangnya undang-undang baru ini bukan sekadar satu lagi bentuk kawalan oleh kerajaan. Ia bakal menjadi paku terakhir buat keranda demokrasi kita.

Sebab itu hukuman yang diperuntukkan sangat berat – denda sehingga RM500,000 atau penjara sepuluh tahun. Tempoh penjara sudah dikurangkan kepada enam tahun, barangkali kerana bantahan orang ramai. Tetapi jumlah denda kekal.

Lindung kerajaan, bukan rakyat

Lebih baik mereka jatuhkan hukuman mati saja. Apa bezanya dengan jatuh muflis (yang memang merupakan hukuman seumur hidup) atau menghabiskan bertahun-tahun di penjara? Hanya kerana menyebarkan maklumat yang mungkin tidak palsu pun?

Bukan hukuman saja yang bersifat drakonian. Pihak berkuasa juga boleh mendapat perintah mahkamah untuk memaksa individu atau organisasi untuk segera memadamkan “berita palsu” – dan hakim tidak perlu mendengar hujah pihak satu lagi terlebih dulu.

Walaupun anda boleh memfailkan rayuan untuk mencabar keputusan itu, berita yang dikatakan palsu itu perlu dibuang buat sementara itu. Jika tidak, anda berdepan dakwaan tambahan. Secara ringkas, anda bersalah sebelum dibuktikan sebaliknya.

Dan jika pihak berkuasa menggunakan alasan ketenteraman awam atau keselamatan negara untuk memadamkan “berita palsu”, anda tidak boleh mencabarnya di mahkamah.

Maka, berita palsu adalah apa saja yang dianggap kerajaan sebagai berita palsu. Timbalan Menteri Komunikasi dan Maklumat Datuk Seri Jailani Johari (gambar) sudah memberi amaran bahawa fakta 1MDB yang tidak disahkan akan dianggap berita palsu. Ia adalah petunjuk kepada apa yang bakal menimpa.

Persoalannya, bagaimana kita dapat mengesahkan apa saja berkenaan 1MDB, apabila laporan siasatan kerajaan terhadap skandal itu diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia, dan sesiapa yang membocorkannya berdepan hukuman setahun penjara mandatori?

Menurut bos Jailani, Datuk Seri Salleh Said Keruak, undang-undang antiberita tidak benar tidak akan menutup perbahasan tentang 1MDB – cuma rakyat tidak boleh membuat dakwaan syarikat itu kerugian RM42 bilion.

Tetapi bagaimana untuk memastikan ia benar atau palsu jika 1MDB sendiri tidak dapat menunjukkan laporan auditnya untuk tiga tahun lalu?

Jelas undang-undang ini bukan untuk melindungi rakyat, tetapi kerajaan.

Undang-undang ini juga jelik sifatnya kerana memaksa rakyat untuk membuat tapisan terhadap diri sendiri (self-censorship). Saya pernah bekerja di media arus perdana dan saya tahu betapa bahaya hal ini. Anda tidak dapat melihatnya. Ia berlaku dalam pemikiran kita. Ia sangat berkesan.

Sebaik saja kita menapis diri kerana takutkan undang-undang, pihak berkuasa sudah menang. Mereka tidak perlu buat apa-apa pun.

Malaysiakini tunggu masa

Adakah undang-undang baru ini akan berjaya menakutkan rakyat? Mungkin. Pasti ada yang akan tunduk. Tetapi adakah Malaysiakini salah satu daripadanya? Jangan bimbang, sedikit pun tidak.

Ketika kami memulakan perjalanan ini 18 tahun lalu, kami tahu akan berdepan intimidasi, gangguan, serbuan, tangkapan dan mungkin penjara. Kami memulakan usaha ini dengan penuh sedar.

Sebab utama kami dapat bertahan sebegini lama – ketika banyak yang lain tidak – sebahagiannya kerana kami sangat cermat dalam kewangan.

Walaupun kami sangat berhati-hati dalam perbelanjaan, kami tidak berfikir dua kali dalam soal berkata benar terhadap kuasa dan mendesak kebertanggungjawaban mereka.

Dan pastinya undang-undang baru ini tidak akan menyekat kami untuk terus berbuat demikian.

Kami mampu melakukannya kerana tahu kami tidak bersendiri. Anda bersama kami.

Ramai di kalangan anda yang telah pun membantu dengan melanggan Malaysiakini. Kepada yang belum, kami berharap anda juga dapat melakukannya. Dan kepada pelanggan sedia ada, anda boleh menambah sumbangan kepada Tabung Pembelaan Malaysiakini.

Kami pastinya akan memerlukan dana ini di era pasca-antiberita palsu. Percayalah, persoalannya bukan ‘adakah’, tetapi ‘bilakah’ undang-undang ini akan digunakan terhadap Malaysiakini.

Dalam novel distopian George Orwell, 1984, watak utama Winston Smith diseksa oleh polis rahsia dan dihantar untuk “pendidikan semula”. Matlamatnya untuk memaksa warga menolak bukti yang sudah berada depan mata. Ia adalah pemerintahan diktator dengan apa yang benar menjadi palsu dan apa yang palsu menjadi benar.

Salah seorang polis berkata kepada Winston: “Kau pelajar lembap, Winston.”

“Bagaimana aku mampu elak apa yang sudah di depan mata? Dua campur dua sama dengan empat.”

“Adakala, Winston, dua campur dua sama dengan lima. Adakala jumlahnya tiga. Dan mungkin juga semua sekali. Kau perlu cuba lagi. Bukan mudah untuk jadi orang waras.”

Untuk rakyat Malaysia, 2018 mungkin ‘1984’ yang baru.

Kecuali kita mengumpul keberanian untuk memberitahu ‘Abang Besar no 1’ bahawa jawapan kepada dua campur dua hanyalah empat. Bukan lima, tiga, atau kesemuanya sekali.

>> Komentar bebas Stevan Gun adalah pengasas bersama dan ketua pengarang Malaysiakini I 3 Mac 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *