Kita belum kalah, tetapi #KitaMestiMenang

Ramai yang kecewa dan sedih dengan apa yang telah berlaku di Parlimen semalam. Malah, saya juga telah melihat ramai yang membuat posting di sosial media dengan status “democracy is dead”, “sad day for our nation”, dan pelbagai lagi.

Secara peribadi, saya tidak berasa kecewa, tapi MARAH! Saya marah dengan ahli-ahli Parlimen yang telah menyokong usul ini dan yang saya paling MARAH adalah dengan tujuh ekor manusia yang telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka secara amanah. Tujuh ekor manusia ini adalah Pesuruhjaya Pilihan Raya.

Kawan-kawan sekali,

Apa yang terjadi semalam adalah sambungan daripada siri-siri “pencurian hak” yang sudah berlaku sejak berdekad dahulu. Tarikh 28 Mac 2018, hanya merupakan satu lagi tarikh baru yang kita boleh masukkan dalam kalendar kita sebagai satu tarikh hak rakyat dicuri, seperti tarikh-tarikh lain.

Namun, di sini saya ingin memberitahu bahawa perlawanan kita dengan pasukan pencuri ini belum berakhir. Pasukan pencuri ini masih belum menang sepenuhnya. Ya, benar mereka kini punyai pelbagai kelebihan dalam PRU14. Tapi tapi tapi, mereka masih belum menang.

Ingin saya membawa anda semua kepada dua tarikh yang telah membawa kepada kemenangan rakyat walaupun kita masuk gelanggang tanpa kesaksamaan.

8 Mac 2008

Tarikh ini akan sentiasa menghantui rejim pencuri ini. Kerana pada tarikh tersebut, rejim pencuri ini hilang lima negeri dan juga hilang kekuasaan 2/3 parlimen. Inilah kali pertama rejim pencuri ini tewas sebegitu besar. Apakah ketika itu, PRU di Malaysia sudah bersih dan adil? Apakah ketika itu persempadanan pilihan raya adil? Sekali lagi, jawapannya adalah tidak. Rejim ini tewas kerana anda telah bertindak untuk menentang ketidakadilan dan telah bertindak untuk mengalahkan pencuri.

Jadi persoalannya, bagaimana rejim pencuri ini telah berjaya ditewaskan, dan ditewaskan oleh siapa? Jawapannya adalah, anda! Ya anda dan keluarga anda! Kerana anda telah keluar untuk mengundi secara beramai-ramai. Pada hari tersebut, 75.99 peratus daripada 10,922,139 rakyat Malaysia telah keluar mengundi. Dan, anda atau rakan anda, atau keluarga anda adalah sebahagian daripada mereka.

5 Mei 2013

Ini adalah satu lagi tarikh yang akan terus menghantui rejim pencuri ini. Pada tarikh ini, rejim pencuri hilang undi popular. Sebanyak 52 peratus rakyat Malaysia telah mengundi untuk menolak rejim pencuri ini. Pada ketika itu, rejim pencuri hanya peroleh 47 peratus undian. Dan sekali lagi, tiga negeri kekal bawah pentadbiran parti pembangkang. Apakah ketika itu, PRU di Malaysia sudah bersih dan adil? Apakah ketika itu persempadanan pilihan raya adil? Sekali lagi, jawapannya adalah tidak.

Jadi persoalannya, bagaimana rejim pencuri ini telah berjaya ditewaskan, dan ditewaskan oleh siapa? Dan sekali lagi, jawapannya adalah, anda! Ya anda dan keluarga anda! Kerana anda telah keluar untuk mengundi secara beramai-ramai. Pada hari tersebut, 84.84 peratus daripada 13,268,002 rakyat Malaysia telah keluar mengundi. Dan, anda atau rakan anda, atau keluarga anda adalah sebahagian daripada mereka. Rejim ini tewas kerana anda telah bertindak untuk menentang ketidakadilan dan telah bertindak untuk mengalahkan pencuri.

Teman sekalian,

Kita sudah berhadapan dengan pencurian hak sejak berdekad dulu lagi. Namun, kita telah berjaya membawa perubahan demi perubahan dan memperoleh kemenangan demi kemenangan kerana kita semua telah bertindak bersama dalam satu suara yang jitu untuk menghentikan pencurian dan pencabulan hak rakyat.

#KitaMestiMenang

Kini kita hanya ada satu pilihan sahaja, iaitu memastikan kemenangan. Ya, KEMENANGAN! Tidak ada apa-apa yang akan berjaya dipulihkan atau diperbetulkan jikalau rakyat tidak menang. Di sini, saya ingin mencadangkan empat perkara untuk kita lakukan.

Memulakan perbualan antara rakan kerja, ahli keluarga, atau sesiapa sahaja untuk pentingnya keluar mengundi.

Berjanji akan membawa 10 orang rakan atau ahli keluarga atau sesiapa saja ke peti undi dan pastikan mereka mengundi untuk mengalahkan pencuri.

Bantu untuk sebarkan informasi yang telus kepada rakan-rakan anda atau ahli keluarga anda.

Bantu pasukan pilihan raya di kawasan anda untuk menyebarkan kebenaran.

Saya hanya memohon anda untuk melakukan empat perkara di atas. Kita tidak boleh hanya mengharapkan sekumpulan manusia atau kumpulan tertentu sahaja untuk menyebarkan informasi. Saya yakin, jikalau kita berjaya mendekati 60 peratus rakyat Malaysia dalam masa yang terdekat ini, kita mampu membawa kepada kemenangan rakyat . Hanya melalui kemenangan rakyatlah, kita kemudiannya akan bersama-sama membina negara tercinta ini dan mengangkat semula demokrasi.

Mereka boleh merancang segala penipuan dan manipulasi, namun apabila rakyat bersatu, kita mampu mengalahkan segala penipuan dan ketidaktelusan ini.

Oleh itu, kita marilah kita bersama-sama bekerja dengan baki 40 hingga 50 hari ini menjelang PRU14 untuk membawa perubahan di dalam negara kita. Ingatlah, negara ini hanya boleh diselamatkan apabila kita bersatu dan bertindak secara bersama. Oleh itu, kita harus kalahkan pencuri dan #KitaMestiMenang!

Dan jikalau kita masih memilih untuk berdiam diri, maka kita harus menyalahkan diri kita sendiri kerana kita telah membenarkan pencuri terus berkuasa.

#KitaMestiMenang

>> Komentar bebas Mandeep Karpall, seorang demostran di Parlimen pada 28 Mac 2018 I 30 Mac 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *