Usul persempadanan semula lulus di Parlimen, 129 sokong, 80 tolak

KUALA LUMPUR: Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lulus selepas sesi belah bahagi di Dewan Rakyat hari ini, dengan 129 menyokong dan 80 menolak.

Usul berjaya diluluskan dalam beberapa jam selepas dibentangkan dan dibahaskan oleh 7 wakil rakyat dari kedua belah pihak.

“Oleh kerana tidak kurang setengah jumlah bilangan ahli majlis dengan usul ini, maka usul ini disetujukan,” kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

SPR mengesyorkan perubahan nama pada 12 kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Tanah Melayu.

Usul itu juga mengesyorkan tiada perubahan bilangan kerusi Parlimen dan DUN di Tanah Melayu, menjadikan bilangan kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kekal 222 kerusi dan kerusi DUN keseluruhannya kekal 587 kerusi.

Menurut pembangkang, cadangan SPR itu jika diluluskan akan mewujudkan kerusi “super Cina” dan “super Melayu” di Kuala Lumpur jika diluluskan, manakala pengundi India akan dipinggirkan. Naib Presiden PKR Tian Chua mendakwa keadaan itu akan memberi kelebihan kepada BN.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan kerajaan mengganggu, mempengaruhi atau mencadangkan perubahan pada cadangan SPR itu.

Kali terakhir cadangan persempadanan kawasan pilihan raya diluluskan adalah pada 2003 yang digunakan dalam PRU11, PRU12 dan PRU13.

Kajian persempadanan kali ini mengguna pakai daftar pemilih yang diwartakan pada 13 Mei 2016, yang terdiri daripada 11,379,352 pengundi berdaftar. Bilangan pemilih berdaftar di Tanah Melayu meningkat 36% atau kira-kira 3 juta orang.

Sebelum ini Zahid berkata, Parlimen akan dibubarkan selepas usul persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat dan diperetujui Yang di-Pertuan Agong.

Mandat kerajaan persekutuan akan tamat 24 Jun ini dan Parlimen akan terbubar secara automatik, untuk membuka laluan kepada pilihan raya perlu diadakan dalam 60 hari, jika tidak diadakan lebih awal.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *