Mufti Wilayah Persekutuan ziarah, doakan Bob Lokman yang sedang uzur

SG BULUH: Pelakon dan seniman terkenal yang kini berdepan keuzuran, Bob Lokman menerima pelawat istimewa di rumahnya semalam, lapor Malaysiakini.

Pagi semalam penulis lirik Pada Syurga Di Wajahmu dan Taman Rashidah Utama itu dikunjungi Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad yang meluangkan sedikit masa ke rumah Bob di Sungai Buloh, Selangor.

Dalam kemas kini hantaran di media sosialnya Zulkifli berkata Bob tetap menggagahkan dirinya menyambut rombongan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan itu.

“Kami dan sempat berbincang berkenaan keluarga Tok Kenali, seorang ulama tersohor Kelantan,” katanya.

Bob pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital, antara lain kerana mengalami masalah buah pinggang, jantung dan paru-paru.

Kelmarin Bob menceritakan keadaannya melalui Facebook dan sedikit sebanyak menimbulkan keresahan di kalangan orang yang mengenali dan peminatnya.

Dalam catatan bersahaja, Bob, 54, berkata ketika ini semangat dan keghairahannya untuk kehidupan semakin muram.

“Aku jumpa doktor lagi hari ni, rutin seorang tua.

“Selepas segala kegembiraan dan dan kesedapan aku lalui, standard sudah berubah. Selera makanan dan ghairah kehidupan sudah menurun sampai ke peringkat menunggu…. Kau fahamlah,” katanya.

Kata Bob – atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman – berkata dia mungkin “akan mendahului” rakan-rakannya yang lain berdasarkan keadaa yang dihadapinya.

“Terima kasih atas segala bantuan dan aku membalas dengan mohon hembuskan aku ke syurga dengan doamu jika namaku gugur dahulu di Lauhul Mahfuz

“Dan aku berpesan dalam kelemahan… pertahankanlah Islam kerana itulah benteng terakhir yang aku perjuangkan,” katanya.

Kata Zulkifli beberapa tahun lalu Bob pernah berkunjung ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan cawangan Kuala Lumpur.

“Semoga Allah mengurniakan kesihatan kepadanya,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *