Ketegangan di bangunan Parlimen, Kit Siang digantung 6 bulan oleh Speaker

KUALA LUMPUR: Pelbagai insiden berlaku di dalam dan luar bangunan Parlimen semalam, apabila wakil rakyat pembangkang menyertai penunjuk perasaan membantah pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketika ratusan orang menyertai protes anjuran Bersih 2.0 dan berarak ke pintu pagar Parlimen, suasana di dalam Dewan Rakyat turut tegang apabila Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bertengkar dengan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Terdahulu, ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan kesahihan usul membentangkan laporan persempadanan semula itu kerana kes itu masih tergantung di mahkamah.

Pandikar bagaimanapun bertegas ia adalah bidang kuasa Dewan Rakyat untuk memutuskan usul itu, sebelum beliau diganggu Lim.

Lim bagaimanapun enggan duduk, selepas berulang kali diminta berbuat demikian oleh Pandikar.

Pandikar kemudiannya mengarahkan Lim keluar dewan kerana enggan mematuhi arahannya, namun ahli Parlimen Gelang Patah itu enggan dan terus duduk di kerusinya, walaupun pegawai Dewan Rakyat tampil mengiringi beliau keluar.

“Saya tetap (akan) duduk di sini. Saya rasa malu dengan dewan yang mulia ini, tetapi saya tetap akan duduk di sini,” katanya.

Ia disusuli perang mulut antara ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang yang tidak berpuas hati dengan tuduhan pemimpin DAP itu berkaitan kemuliaan Dewan Rakyat.

Pandikar kemudiannya memberi beberapa pilihan kepada Lim, antaranya mengarahkan menteri mengusulkan tugas Lim digantung atau memberhentikan seketika sidang Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengusulkan Lim digantung tugas selama 6 bulan mengikut Peraturan Mesyuarat 44 (3) kerana Lim enggan mematuhi arahan speaker.

Pandikar berkata, keputusan menggantung dan mengarahkan Lim keluar dewan kekal.

“Tindakan sudah saya buat, YB tahu kuasa speaker. Yang berlaku di Dewan Rakyat sekarang ini buat saya sedih, semua dipolitikkan.

“Saya telah buat keputusan, keputusan saya yang ke-3 adalah saya tangguhkan dewan buat sementara waktu, selepas itu arahan untuk menggantung dan Gelang Patah (Lim) keluar diteruskan.

“Berfikirlah, saya akan arahkan polis untuk masuk ke sini. Siapa YB enggan (keluar) akan diangkat keluar, selepas itu persidangan akan diteruskan.”

Prosiding Dewan Rakyat ditangguhkan kira-kira 20 minit dan bersambung semula dengan usul persempadanan semula yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketika itu, Lim masih berada dalam Dewan Rakyat.

“Saya ada dalam Dewan Rakyat tadi masa Najib berbahas, cuma saya tidak tahu apa status saya. Tunggu 2.30 petang nanti, sama ada saya boleh masuk Dewan Rakyat atau tidak,” katanya ketika dihubungi FMT.

Di luar Parlimen pula, ratusan penunjuk perasaan berarak ke Parlimen sebelum mereka dihentikan polis kira-kira 200m dari bangunan itu.

Polis hanya membenarkan wakil Bersih 2.0 menyerahkan satu memorandum kepada seorang pegawai Parlimen yang menggesa Pandikar menarik balik usul pembentangan laporan persempadanan semula.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *