Bentang usul di Parlimen tapi tak mahu dibahas secukupnya kata Tun Mahathir

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad membidas pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang disyorkan Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) semalam kerana ia tidak dibahaskan secukupnya oleh Dewan Rakyat.

Beliau merasakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak wajar memberikan tempoh 10 minit kepada setiap 7 wakil rakyat dari kedua belah pihak untuk membahaskan usul sepenting itu.

“Ianya dilakukan secara gopoh, tak ada perbahasan, tak ada penilaian dan hanya diarah dan digunakan majoriti kerajaan untuk melakukan perkara memalukan,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana kelmarin.

“Tak payahlah..buat sahajalah apa nak buat. Ini masuk Parlimen tapi bukan nak dengar suara di Parlimen. Di negara lain pendapat parti lawan diambil kira tapi di sini apa yang kerajaan nak buat, dia buat.”

Berdasarkan kepada keadaan sebelum dan semasa pembentangan itu, Pengerusi Pakatan Harapan itu mempertikaikan matlamat sebalik perubahan tersebut.

“Ini bukan nak tambah kerusi. Ini nak pindah orang dari satu kawasan ke satu kawasan untuk mendapat sokongan dan kemenangan dalam pilihan raya,” dakwanya.

Dr Mahathir juga berpandangan usul itu tidak sepatutnya dibentangkan kerana proses persempadanan pilihan raya oleh SPR sedang dicabar di mahkamah.

“Sepatunya kita tunggu sampai keputusan dibuat oleh mahkamah tapi kerajaan ini tak peduli undang-undang atau cara mengurus kerajaan supaya mengelak daripada subjudis,” katanya.

Terdahulu, usul persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR lulus selepas sesi belah bahagi di Dewan Rakyat hari ini, dengan 129 menyokong dan 80 menolak.

Usul ini berjaya diluluskan dalam beberapa jam selepas dibentangkan dan dibahaskan oleh 7 wakil rakyat dari kedua belah pihak.

Menurut pembangkang, cadangan SPR itu jika diluluskan akan mewujudkan kerusi “super Cina” dan “super Melayu” di Kuala Lumpur jika diluluskan, manakala pengundi India akan dipinggirkan. Naib Presiden PKR Tian Chua mendakwa keadaan itu akan memberi kelebihan kepada BN.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan kerajaan mengganggu, mempengaruhi atau mencadangkan perubahan pada cadangan SPR itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *