Azmin dakwa SPR terburu-buru siapkan persempadanan semula

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azmin Ali mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersikap terburu-buru, walaupun ia mempunyai masa sehingga September ini untuk menyiapkan laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya dengan teliti.

“Mengapa terburu-buru, SPR ada masa sehingga September 2018, kenapa tergesa-gesa? Adakah SPR ini mengikut kehendak Umno dan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14?” soalnya ketika membahaskan usul mengenai laporan kajian semula persempadanan di Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata, kajian semula persempadanan yang dilakukan SPR ke atas Selangor tidak adil dan bertentangan Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan, iaitu jumlah pengundi haruslah sama banyak.

“Kita yang gubal Perlembagaan Persekutuan, tetapi Umno dan BN yang cabul Perlembagaan. Purata pengundi di Selangor untuk setiap DUN seharusnya adalah sebanyak 43,190 pengundi.

“Tetapi, sebanyak 33 kawasan DUN daripada 56 DUN yang ada dalam Selangor, jumlah pengundinya lebih daripada 43,190 pengundi. Adakah SPR tidak nampak?”

Timbalan presiden PKR itu turut mendakwa kajian semula persempadanan yang dilakukan SPR sekadar untuk memenangkan BN dalam PRU.

Menteri besar Selangor itu berkata, sejarah membuktikan setiap kali kajian semula persempadanan dilakukan, jumlah kerusi dimenangi BN akan bertambah berbanding PRU sebelumnya.

“Pada 1999, BN menang peratus undi popular sebanyak 63.9% dan persempadanan semula dilakukan pada 2003, biarpun undi popular merosot, namun jumlah kerusi (dimenangi) meningkat dalam kadar tidak munasabah.

“Pada 2013, Pakatan Rakyat memperolehi 52% undi popular, namun disebabkan persempadanan yang tidak adil menyebabkan BN curi kemenangan dari Pakatan Rakyat.

“Kalau persempadanan ini adil dan berintegriti, Pakatan Rakyat sudah ada di sana (blok kerajaan) untuk tadbir kerajaan persekutuan,” dakwanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *