Speaker tidak ikut prosedur gantung tiga Ahli Parlimen DAP

KUALA LUMPUR: Tindak tanduk Speaker Parlimen Tan Sri Pandikar Amin Mulai menggantung tiga Ahli Parlimen DAP semalam disifatkan sebagai menghina Dewan Rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, Pandikar tidak mengikut prosedur sepatutnya apabila membuat keputusan berkenaan.

“Jika anggota parlimen ingin digantung, mereka mesti dirujuk Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Jelas Pandikar menyalahgunakan kuasa dengan menggantung tiga anggota parlimen tanpa berbuat demikian. Ia salah di sisi undang-undang dan beliau patut letak jawatan kerana menghina Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media di Parlimen semalam lapor Malaysiakini.

Kor Ming berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 80 yang menetapkan bahawa jawatankuasa itu boleh ditubuhkan untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap ahli dewan yang dilihat melakukan perbuatan menghina Dewan Rakyat.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Ahli Parlimen Batu Gajah, v. Sivakumar dan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.

Semalam, ketiga-tiga mereka digantung selama 10 hari kerana enggan memohon maaf ekoran kenyataan mendakwa Pandikar bersekongkol menutup skandal rasuah kehilangan puluhan bilion berkaitan 1MDB dan menggesanya meletak jawatan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *