Padang Terap perlu transformasi, bukan langkah sementara untuk raih undi

ALOR SETAR: Padang Terap merupakan daerah ketiga terbesar di Kedah, meliputi kawasan seluas 135,684 hektar dan bersempadanan dengan Thailand di utara.

Ia mendapat namanya daripada “pokok terap”, sejenis pokok bergetah dan tahan kemarau yang banyak terdapat di daerah ini.

Kerusi Parlimen itu yang kini dipegang wakil Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid, terdiri daripada 2 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Kuala Nerang dan Pedu. Kedua-duanya dikuasai wakil Umno, iaitu Datuk Badrol Hisham Hashim dan Kama Noriah Ibrahim.

Penduduk di sini yang kebanyakannya orang Melayu (92%) bekerja sebagai penoreh getah dan petani.

Lawatan ke daerah ini, yang terletak kira-kira 33km dari pusat bandar Alor Setar, ibarat kembali ke masa lampau – hakikat yang disedari Mohd Khairizal Khazali, penyelaras Amanah Parlimen Padang Terap.

“Bila anda ke sini, anda berasa seperti berada pada 1970-an atau 1980-an walaupun kita sebenarnya menghampiri 2020. Padang Terap ketinggalan jauh ke belakang dari segi ekonomi dan pembangunan,” katanya kepada FMT.

Khairizal (kanan) bercakap kepada seorang peniaga di sebuah pasar di Padang Terap.

Khairizal berkata, wakil rakyat terbabit, yang salah seorangnya menteri kanan dan bekas menteri besar, mengabaikan keperluan rakyat tempatan.

Beliau berkata, isu infrastruktur asas seperti bekalan air, jalan tak berturap, jambatan runtuh dan kekurangan lampu jalan tidak ditangani kerajaan negeri.

“Ia menyedihkan kerana mereka tidak memberi keutamaan kepada isu ekonomi yang memberi kesan kepada penduduk Padang Terap. Kira-kira 80% penduduk di sini bekerja sebagai petani dan penoreh getah dan mereka hidup dalam kesempitan.

“Mereka tahu harga getah kini tidak stabil, lebih kurang RM2.20. Sebahagian penduduk menoreh pokok getah mereka sendiri, sementara sebilangan lagi menoreh pokok getah milik orang lain. Apa sahaja yang mereka peroleh akan dibahagi dua.

“Katakan seorang penoreh mampu menoreh 5kg getah sehari. Jika anda kira berdasarkan RM2.20, mereka dapat RM11 atau RM12 sehari. Jika mereka menoreh pokok getah milik orang lain, pendapatan itu perlu dibahagi dua. Pastinya ini tidak mencukupi.”

Khairizal berkata, peniaga juga menerima kesannya kerana kuasa membeli masyarakat setempat sangat terhad dan ramai yang mengadu tentang penurunan jualan.

Katanya, cuaca tidak menentu sekarang juga bermakna penoreh getah tidak boleh keluar menoreh mengakibatkan mereka tiada pendapatan tetap.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka hanya mendapat sedikit wang daripada menanam dan menjual “ulam kampung”.

“Rakyat mula merasai keperitan akibat kelembapan ekonomi. Walaupun BN cuba memenangi hati mereka dengan pemberian beras atau mengadakan program jualan murah, ini hanyalah langkah sementara yang bertujuan memenangi undi sahaja.

“Kita tidak mahu semua itu hanya kerana pilihan raya semakin dekat. Kita mahukan transformasi dalam kehidupan penduduk di Padang Terap.”

Mengambil kira keluasan kawasan Parlimen ini, Khairizal berkata, wakil rakyat perlu memikirkan cara untuk menambah peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.

“Misalnya, mereka boleh menubuhkan kilang yang boleh membantu mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat. Dengan kayu contohnya, mereka boleh membangunkan kilang perabot.”

Khairizal dan pasukan khidmatnya menemui rakyat di sebuah pasar di Padang Terap.

Beliau berkata, faktor jarak menyebabkan tidak ramai penduduk Padang Terap mendapat peluang lebih baik di Alor Setar.

Katanya, Padang Terap tidak sepatutnya menghadapi masalah bekalan air memandangkan Badrol Hisham ialah exco perumahan dan kerajaan tempatan, bekalan air, sumber air dan tenaga Kedah.

“Malangnya, ada tempat yang tidak mendapat bekalan air sama sekali. Infrastrukturnya ada, tetapi bekalan air tidak sampai kepada rakyat.

“Penduduk kampung bergantung kepada tangki yang diisi pihak berkuasa air setiap 2 hari sekali. Mereka yang tinggal di tepi sungai akan menggunakan air sungai.

“Tetapi untuk air minuman, penduduk kampung terpaksa pergi ke pekan Kuala Nerang membeli air bertapis kerana bekalan air kerajaan digunakan untuk tujuan lain,” katanya.

“Daripada kempen yang kami jalankan, kami meminta pengundi bukan sahaja di Padang Terap, tetapi di tempat lain juga membuat perubahan dan memilih PH. Beri kami peluang untuk mengatasi masalah dihadapi rakyat.

“Kami tahu Malaysia bukan negara mundur atau miskin, tetapi kami mempersoalkan pengagihan dan pengurusan sumber negara yang tidak sampai kepada rakyat.

“PH sudah melancarkan manifestonya. Seratus hari selepas mengambil alih Putrajaya, kami akan kotakan janji itu. Ini bukan janji kosong. Ia akan dipenuhi,” kata Khairizal.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *