Kesedaran mengenai golongan kelainan upaya masih perlu dipupuk di Malaysia

Pada 21 Mac lalu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, di Instagram miliknya, menyentuh hati sempena Hari Sindrom Down Sedunia, mengenakan stokin tidak sepadan ketika menghadiri mesyuarat kabinet.

Jelasnya, beliau memberi penghormatan kepada anak saudaranya, Aisha, yang menurut Khairy seorang anak yang “bijak, kelakar, cerdas, petah dan yakin berbicara” walaupun mengalami sindrom Down.

Komen beliau itu berjaya mengubah tajuk perbualan kita kepada golongan berkelainan upaya, ketika kebanyakan rakyat Malaysia sibuk berbicara tentang isu kos sara hidup menjelang pilihan raya umum yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ramai antara kita yang kenal secara peribadi dengan individu berkelainan upaya atau mereka yang terlibat secara langsung dengan kumpulan ini. Tidak dapat dinafikan, kita memerlukan lebih banyak kesedaran dalam isu ini dan perbincangan lebih meluas terhadap polisi kerajaan bagi mereka yang mempunyai kelainan upaya.

Apa lebih penting, kita harus memahami, golongan istimewa ini sama sahaja berkemampuan seperti orang lain. Stephen Hawking, yang baru sahaja meninggal dunia, merupakan seorang ahli fizik termasyhur meskipun beliau menghidapi penyakit sklerosis lateral amiotrofik (ALS). Kisah hidup Hawking merupakan inspirasi di mana seseorang yang lain upayanya, tetap mampu mencipta kejayaan.

Bagaimanapun, beliau bukanlah satu-satunya contoh terpencil yang boleh kita lihat.

Albert Einstein dan Steve Jobs mempunyai penyakit disleksia. Atlet Malaysia, Mohamad Rizuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly juga berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila membawa pulang pingat emas pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio.

Kerajaan kini nampaknya lebih peka akan kepentingan membangunkan rakyat Malaysia yang mempunyai keperluan khas. Pada 20 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan Permata Kurnia, program membantu meningkatkan kesedaran autisme di Malaysia dan menyediakan sokongan sejak peringkat awal agar kanak-kanak autisme dapat membentuk potensi mereka.

Apa yang menarik perhatian kami, kanak-kanak berumur 5 tahun, Izz Imil Shahrom berjaya menyertai program Permata Pintar di UKM. Walaupun didiagnosis dengan autisme dan hiperleksia pada umur muda, Izz amat cekap dalam menjawab soalan matematik dan kimia, yang kebiasaannya dijawab pelajar sekolah menengah. Sangat mengagumkan!

Kami puji program seperti Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) dan Permata Kurnia kerana meraikan kebolehan dan bakat kanak-kanak. Setiap individu patut diberi peluang untuk merealisasikan impian mereka dan berjaya, tanpa mengira keadaan fizikal mereka.

Bagaimanapun, usaha membina masyarakat yang benar-benar inklusif bergantung kepada dasar kukuh dan usaha pihak kedua-dua belah spektrum politik.

Pada pilihan raya akan datang ini, kami menggesa pihak yang bertanding menawarkan penyelesaian bagi mereka yang memerlukan bantuan khas.

Baru-baru ini, pengerusi Pakatan Harapan mengaku tiada rancangan jelas dalam manifesto mereka untuk golongan kelainan upaya. Sama juga dengan manifesto PAS, hanya menyatakan mereka akan mewujudkan sistem sokongan berdasarkan potensi dan keupayaan diri golongan kelainan upaya. Ini jauh dari cukup!

Kami berharap manifesto Barisan Nasional, yang bakal diumumkan, mempunyai inisiatif dan rancangan lebih komprehensif dan kukuh.

Organisation for National Empowerment (ONE) menggesa semua parti menawarkan perancangan kukuh untuk membantu komuniti ini.

Mereka perlu menerangkan dengan terperinci bagaimana polisi mereka dapat membantu golongan memerlukan keperluan khas dalam aspek latihan, penjanaan pendapatan dan sistem sokongan.

Penyelesaian yang ditawarkan harus mampu menjadikan rakyat Malaysia yang berkelainan upaya berasa penting dalam masyarakat dan mampu mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi, seperti rakyat Malaysia lain.

Kempen kesedaran perlu diadakan agar semua rakyat memahami kepentingan dan keperluan golongan ini kerana dengan adanya kefahaman dan penerimaan dalam masyarakat, semua orang lebih cenderung untuk memulakan inisiatif sendiri lalu memberi sokongan kepada komuniti kelainan upaya ini, lebih daripada apa disediakan kerajaan.

Kini, banyak perniagaan, restoran dan Uber sudah mula memberi peluang pekerjaan kepada golongan berkelainan upaya. Inisiatif begini berjaya meningkatkan keyakinan mereka dan membuka peluang penglibatan mereka dalam ekonomi. Amalan ini seharusnya dipraktikkan di setiap entiti, organisasi, perniagaan, badan bukan kerajaan dan badan kerajaan!

Namun, untuk menjadikan amalan ini satu norma masyarakat, kita perlu meneruskan usaha dalam mendidik kepentingan membentuk sistem inklusif bagi komuniti orang berkelainan upaya. Lebih baik lagi jika pihak yang bertanding dalam pilihan raya nanti menunjukkan kesungguhan mereka dalam isu ini dengan menyediakan rancangan khusus bagi menyokong golongan kelainan upaya.

Setiap rakyat Malaysia harus diberi peluang memanfaatkan keupayaan dan bakat mereka. Dengan kelengkapan, sokongan dan semangat kukuh, kita dapat menuju #ForwardTogether dalam membentuk negara penyayang dan inklusif, di mana tiada siapa pun ditinggalkan di belakang.

>> Komentar bebas Rashiqah Annuar dan Azeem Abu Bakar ialah ahli Organisation for National Empowerment (ONE) I 28 Mac 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *