Tiga ahli Parlimen DAP anggap tak adil gantung tanpa pendengaran

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Beruas Datuk Ngeh Khoo Ham berpendapat, penggantungan dirinya serta dua anggota parlimen DAP yang lain oleh Speaker Dewan Rakyat sebagai tidak adil.

Ini kerana, menurut Ngeh, Speaker sepatutnya melakukan sesi pendengaran terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Sepatutnya perlu ada sesi pendengaran terlebih dahulu, tidak ada langsung sesi pendengaran terhadap kami bertiga tetapi terus menuduh kami menghina parlimen sedangkan kami berfikir sebaliknya,” katanya pada sidang media di Parlimen semalam.

Sidang media itu turut dihadiri Anggota Parlimen Baru Gajah V Sivakumar.

Bagi Sivakumar pula, beliau berpendapat Parlimen merupakan tempat untuk menjawab isu-isu yang dibangkitkan rakyat.

Justeru, katanya, perkara yang dibangkitkan mereka bukan bertujuan untuk mencabar speaker sebaliknya membawa soalan-soalan yang sering diajukan rakyat.

“Ramai tanya pada anggota parlimen apa kita buat di Parlimen dan kenapa tak dapat jawapan dari kerajaan berkaitan 1MDB.

“Kerajaan harus jawab berkaitan isu rakyat. Speaker tak boleh diperalatkan atau digunakan oleh eksekutif.

“Kita anggota parlimen dan wakil rakyat, kita bukan nak cabar speaker. (Kita cakap) mungkin speaker hadapi tekanan dari eksekutif dan sebab tekanan dia halang soalan 1MDB, jadi lebih baik dia letak jawatan. Itu yang kita cuba katakan” kata Sivakumar.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee hari ini menggantung tiga anggota parlimen DAP berkenaan selama sepuluh hari selepas mereka enggan memohon maaf terhadap Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ronald berkata tindakan Ngeh, Sivakumar dan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) adalah satu penghinaan kepada speaker yang melaksanakan tugasnya dan sehubungan itu, juga adalah satu penghinaan kepada parlimen.

Ia susulan keputusan Pandikar yang menolak usul segera mereka berhubung isu rampasan kapal persiaran milik ahli perniagaan Jho Low dan soalan berkaitan 1MDB.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *