Dewan Rakyat tutup pintu bahas 1MDB, gantung tiga wakil rakyat DAP

KUALA LUMPUR: Tuntutan tiga Ahli Parlimen DAP mendesak Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletak jawatan kerana tidak membenarkan usul penyelewengan dana berdaulat negara 1MDB dibahas menyebabkan mereka digantung dari menghadiri dewan selama 10 hari.

Menurut Timbalan Speaker Ronald Kiandee, tuntutan yang dilakukan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming; Batu Gajah, V Sivakumar dan Beruas, Ngeh Koo Ham sebagai satu penghinaan terhadap Dewan Rakyat.

“Saya memerintahkan Beruas, Taiping dan Batu Gajah keluar dari majlis mesyuarat selama 10 hari bermula Isnin.

“Perbuatan dan kenyataan secara bersama yang dibuat oleh ketiga-tiga Ahli Parlimen ini merupakan penghinaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat yang menjalankan tugas sebagai pengerusi dewan ini,” kata Ronald.

Beliau juga berkata, tindakan penggantungan itu dibuat mengikut Perkara 44 (2) dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pada awal bulan lalu, tiga Ahli Parlimen tersebut menuntut Pandikar supaya meletak jawatan kerana menolak usul dari pembangkang meminta penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Integriti Pandikar sebahgai Speaker yang bertanggungjawab mengawal selia persidangan dipersoal kerana enggan memberi laluan untuk membenarkan perbahasan mengenai kehilangan puluhan billion dana berdaulat negara membabitkan skandal 1MDB.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *