Bila kerajaan mahu tubuh ‘Kementerian Kebenaran’?

Dunia maya hangat membincangkan usaha kerajaan mewujudkan akta berita palsu yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 serta 10 tahun penjara.

Peguam dan aktivis Michelle Yesudas menyamakan apa yang berlaku dengan karya satira politik terkenal dunia 1984 oleh penulis Inggeris legenda George Orwell.

“Rakyat Malaysia yang sangat cakna ingin bertanya kerajaan Malaysia jika terdapat sebarang rancangan untuk menubuhkan Kementerian Kebenaran, untuk menghasilkan ‘berita benar’ bagi menentukan kepalsuan ‘berita palsu’,” soalnya.

1984 mengisahkan keadaan sebuah negara yang diperintah oleh seorang pemimpin misteri dikenali sebagai Big Brother dengan kuku besi.

Watak utama filem itu dikenali sebagai Winston Smith yang bekerja di Kementerian Kebenaran yang ditugaskan menulis semula artikel-artikel lama akhbar supaya rekod kerajaan sentiasa menyebelahi parti pemerintah.

Rang undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat hari ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ia memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya, bagi pihak yang mengadakan, menawarkan dan menerbitkan berita tidak benar.

Hukuman sama juga boleh dikenakan ke atas mereka yang menyediakan bantuan kewangan bagi maksud melakukan atau memudahkan pelakuan penghasilan berita tidak benar itu.

Ia juga membenarkan mahkamah memerintah mana-mana pihak untuk menghapuskan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *