RUU berita palsu hanya untuk bungkam kritikan terhadap 1MDB

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Berita Palsu yang dijadual akan dibentang di Parlimen minggu hadapan, dikhuatiri akan disalahgunakan untuk membisukan laporan media tentang skandal melibatkan syarikat bermasalah milik negara, 1MDB.

Ini berikutan demikian banyak kritikan media tempatan dan antarabangsa terhadap syarikat terbabit, membabitkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang pastinya cuba dibungkam oleh pihak kerajaan.

Baharu sahaja tempoh hari Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari dilaporkan berkata bahawa sebarang maklumat berkaitan 1MDB yang tidak disahkan kerajaan akan dianggap sebagai berita palsu.

Justeru, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mempersoalkan kenapa kerajaan begitu tergopoh-gapah mahu membentangkan RUU terbabit.

“Jailani sepatutnya tahu bahawa dapatan pihak berkuasa tidak boleh diterima sebagai perkara muktamad kerana belum diuji di mahkamah.

“Justeru tidak boleh dikatakan bahawa kritikan terhadap 1MDB yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa sebagai palsu,” jelas Ram, yang merupakan seorang peguam.

Ram turut bertanya sama ada undang-undang baru itu akan turut terpakai kepada media asing, memandangkan Perdana Menteri pun masih lagi belum memulakan sebarang tindakan undang-undang terhadap mana-mana media asing.

“Kalau diikutkan kegagalan kerajaan mengambil tindakan terhadap media asing setakat ini, nampaknya memang tidak akan ada tindakan terhadap mereka di bawah RUU baru tersebut.

“Nampaknya tujuan RUU berita palsu ini hanyalah untuk membungkam kritikan terhadap 1MDB dan lain-lain isu sensitif menjelang pilihanraya umum ke-14,” tambahnya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *