Mahathir bangkit teori MH370 ‘dikawal dari jauh’ sehingga tiada jejak ditinggalkan

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penerbangan MH370 mungkin diambil alih dari jauh dalam cubaan untuk menggagalkan rampasan pesawat Malaysia Airlines itu, menghidupkan kembali satu daripada teori konspirasi berhubung kehilangan misteri berkenaan.

Pesawat itu hilang pada 8 Mac 2014 bersama 239 penumpang dan kru – kebanyakan warga China – dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Tiada tanda Boeing 777 itu ditemui dalam pencarian besar-besaran diketuai Australia di selatan Lautan Hindi, yang terbesar dalam sejarah penerbangan dan digantung awal tahun lalu.

Setakat ini, hanya 3 serpihan disahkan milik MH370 ditemui di pantai barat Lautan Hindi, termasuk sayap sepanjang 2m dikenali sebagai flaperon.

Pencarian itu dimulakan semula Januari lalu di utara zon asal yang saintis kini percaya ia berkemungkinan besar ialah lokasi pesawat itu terhempas.

Syarikat penerokaan dasar laut yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity memulakan pencarian MH370 atas dasar “tiada penemuan, tiada bayaran” pada 22 Januari lalu.

Dr Mahathir, 92, yang mengetuai Pakatan Harapan untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya umum akan datang berkata, beliau tidak percaya Kuala Lumpur terbabit dalam menyembunyikan kehilangan misteri pesawat itu.

Tetapi, beliau memberitahu akhbar The Australian dalam satu wawancara yang pesawat itu mungkin dikawal dari jauh.

“Dilaporkan pada 2006, Boeing diberi lesen untuk mengambil alih pesawat dirampas yang sedang terbang, jadi saya tertanya-tanya adakah itu yang berlaku atau sebaliknya.

“Sangat pelik sebuah pesawat tidak meninggalkan jejak sama sekali,” kata Dr Mahathir yang memimpin negara selama 22 tahun.

“Keupayaan untuk melakukannya ada. Teknologi itu ada di sana.

“Anda tahu betapa pandai orang sekarang menerbangkan pesawat tanpa juruterbang. Pesawat tempur juga boleh terbang tanpa juruterbang. Sesetengah teknologi kita boleh baca dalam media, tetapi banyak kepentingan ketenteraan tidak diterbitkan.”

Menurut laporan, Boeing pada 2006 diberikan paten Amerika Syarikat untuk satu sistem yang apabila diaktifkan, boleh mengambil alih pesawat komersial daripada juruterbang atau kru, jika berlaku rampasan pesawat.

Tetapi, tiada bukti ia pernah digunakan ke atas pesawat kerana faktor keselamatan.

Kegagalan mengesan lokasi terakhir MH370 mencetuskan banyak teori, termasuk pesawat itu dirampas atau ia adalah plot keganasan.

Kapten pesawat itu, Zaharie Ahmad Shah turut disiasat, tetapi tiada apa yang ditemui.

Pencarian awal memfokuskan sebuah kawasan di timur Semenanjung Malaysia, tetapi tumpuan kemudiannya beralih ke pantai barat apabila pesawat itu dikesan menukar arah dan menuju ke Lautan Hindi.

Penyiasat kemudiannya memfokuskan sebuah kawasan di barat Australia berdasarkan isyarat “ping” satelit dan anggaran bahan api dalam pesawat itu yang mencadangkan ia terhempas di selatan Lautan Hindi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *